Nurul Izzah Anwar Nurul Izzah Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM










PERMATANG PAUH - Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh
pemimpin BN bagi mempertahankan pelaksanaan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) sejak akhir ini tidak membantu menambah keyakinan
rakyat khusus pengundi Permatang Pauh.



Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata kenyataan balas khusus
daripada pemimpin MCA yang bersifat perkauman baru-baru ini hanya
memburukkan keadaan dan membuka kelemahan mereka sendiri kepada rakyat.



"Sekarang terbongkar bagaimana BN menangani isu GST termasuk MCA hanya
mendedahkan pekung dan gagal mengubah momentum rakyat yang menolak cukai
itu menerusi undi mereka nanti.



"Dari segi isu saya agak bersyukur bagaimana mereka memberi respon
lebih mendedahkan kelemahan pemikiran dan penerimaan dalam politik
baru," katanya kepada pemberita di Seberang Jaya, di sini, semalam.



Terdahulu, Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie memberitahu masyarakat
Cina di negara ini supaya tidak menentang GST kerana orang Melayu
sahaja akan membayar lebih cukai itu.



Sementara itu, Nurul Izzah juga menafikan pemimpin utama Pas tidak
membantu berkempen bagi memenangkan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail.



"Sebenarnya ramai pimpinan Pas turun kempen, saya amat tersentuh
memandangkan PRK Rompin pun berlangsung pada masa sama, awal dua hari
sebelum kita.



"Pada saya masalah itu tidak berbangkit, sebaliknya kita mahu
mendapatkan kehadiran (pengundi) seramai mungkin untuk keluar mengundi
nanti khususnya pengundi luar," katanya lagi.



Ditanya mengenai demonstrasi yang dilakukan NGO Pakatan Anak-Anak
Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) siang tadi, beliau
bagaimanapun mengakui perkara itu ditimbulkan untuk mengganggu tumpuan
pihaknya berkempen.



"Saya amat terkejut dan tidak perlu kita berikan komentar, kalau nak
lihat kekacauan yang ditimbulkan di saat akhir mengganggu konsentrasi
kita," tambahnya lagi.