SINAR HARIAN
BUKIT MERTAJAM - Soal tarikh mengundi pada hari bekerja tidak
memberikan kelebihan kepada mana-mana pihak seperti mana yang didakwa
pemimpin Parti Keadilan Rakyat, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN)
Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh
dan sudah pasti semua parti yang bertanding harus berkerja keras untuk
memanggil pengundi mereka di luar kawasan untuk balik mengundi.
"Ini satu gelanggang pertandingan yang sama rata di mana Barisan
Nasional sendiri juga terpaksa memanggil pengundinya sendiri untuk balik
mengundi.
"Tarikh ini bukan satu tarikh yang menimbulkan kemusykilan bagi
satu-satu pihak, dua-dua pihak yang bertanding harus bekerja keras untuk
memanggil balik pengundi mereka untuk membuang undi," katanya kepada
pemberita selepas melancarkan program santai futsal di Sekolah Menengah
Kebangsaan Guar Perahu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas calon PKR Datuk Seri
Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa peratusan keluar mengundi dalam
Pilihan Raya (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini akan turun
kerana dipengaruhi oleh kerajaan pusat.
Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata tiga
faktor yang menyebabkan sokongan pengundi muda kepada BN di Permatang
Pauh semakin baik.
Beliau berkata tiga faktor itu termasuk pemilihan calon yang tepat,
jentera pemuda yang mantap dan kemelut dalaman yang tidak berkesudahan
dalam pakatan pembangkang.
"Ini trend yang berlaku dengan ketara dalam kalangan pengundi muda di
Permatang Pauh menyebabkan sokongan terhadap pakatan pembangkang mula
merosot.
"Calon BN kali ini adalah orang muda anak tempatan yang sememangnya
berada di kawasan setiap masa seperti mana yang diharapkan pengundi dan
yang penting bukan ahli Parlimen separuh masa," katanya.
Katanya, beliau turut menerima 53 borang keahlian daripada pemuda PKR
Pusat Daerah Mengundi Taman Sembilang yang kecewa dengan kepimpinan
parti itu, untuk menyertai UMNO.
Beliau berkata ini satu petanda yang baik dan jentera pemuda harus
melipatgandakan lagi usaha untuk mendekati hati pengundi muda kawasan
berkenaan.
"Keretakan hubungan pakatan pembangkang juga dilihat sebagai bonus
untuk BN meraih sokongan pengundi muda untuk memihak kepada BN.
"Saya berharap momentum sokongan yang semakin cenderung memihak kepada BN akan berkekalan," katanya.
Tambahnya, pengundi muda di Permatang Pauh harus memberi peluang kepada
calon BN Suhaimi Sabudin untuk mewakili suara golongan muda di kawasan
Parlimen itu.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh 7 Mei menyaksikan pertandingan
empat penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Salleh Isahak (Bebas) dan
Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia). - Bernama
No comments:
Post a Comment