Sunday, 3 May 2015

Tips untuk Ahmad Maslan bantu rakyat faham GST







Oleh Zharif Badrul





Himpunan Bantah GST yang berlangsung semalam menjadi bukti, masih ada rakyat Malaysia yang
tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai itu di Malaysia. Minggu ini
juga viral nama Mawar Rashid yang gagal menjawab soalan mengenai GST.



Pada saya Mawar adalah epitom kepada rakyat Malaysia yang rata-rata masih tidak faham tentang GST.


Apa yang ada dalam fikiran rakyat apabila sebut nama GST ialah: Harga barang naik




Tetapi di Malaysia hanya pak menteri sahaja yang kelihatan faham dan
menyokong GST. Maka tidak hairanlah tugas memberi penjelasan tentang
cukai ini diberikan kepada menteri yang mendapat CGPA 3.85 sewaktu
belajar di universiti dahulu.



Malangnya, Datuk Ahmad Maslan
kelihatan gagal untuk memahamkan rakyat Malaysia terutama di media
sosial apabila beliau menjadi bahan ‘troll’ pengguna Facebook dan
Twitter.



Mungkin agak susah bagi rakyat marhaen untuk memahami
penjelasan dan penerangan daripada seseorang yang mendapat CGPA 3.85
sewaktu belajar dulu.



Apabila Mawar dikecam teruk di media
sosial, selebriti dan menteri siap keluar kenyataan agar buli siber
dihentikan terhadap dirinya. Malangnya apabila Ahmad Maslan "dibuli" di
media sosial, seorang pun tak mahu tolong. Saranan untuk memboikot
kedai/peniaga pro pembangkang yang menaikkan harga pun rasanya tidak
berkesan.



Kedai rojak tepi jalan yang saya makan setiap minggu
pun naik harga.Saya tak tahulah dia pro pembangkang atau tidak tapi dia
beritahu saya harga makanan naik sebab harga barang pun naik.




Jadi di sini saya ingin mengutarakan satu idea agar Ahmad Maslan dapat
membantu rakyat untuk memahami GST sekaligus mengurangkan pengguna
twitter dan facebook daripada membuli beliau.

Keluarkan senarai 4,000 barang yang tidak dikenakan GST dan jadikan ia mudah diakses rakyat.



Ya saya tahu itu idea gila.




Tetapi itulah apa yang diucapkan PM sewaktu temuramah beliau bulan
lepas di TV3. Memang betul beliau cakap ada empat ribu barang yang
dikecualikan daripada GST.



Jadi apabila ada senarai 4 ribu
barang itu, rakyat Malaysia tahu yang Datuk Seri Najib Razak bukan
"sembang kencang" atau dalam bahasa Inggerisnya bulls**t apabila
menyebut angka empat ribu itu.



Dan mana-mana kedai atau peniaga
yang menaikkan harga barang yang tidak dikenakan GST bolehlah
disenaraikan supaya rakyat boleh boikot kedai pro-pembangkang tersebut.




Jika kutipan GST itu membolehkan kerajaan membina sepuluh buah
universiti baru eloklah dikhabarkan nama-nama universiti tersebut dan
lokasinya. Setidak-tidaknya sejuk hati rakyat apabila berbelanja demi
masa depan generasi akan datang.



Kalau tak mampu juga untuk buat
semua itu, eloklah Ahmad Maslan letak jawatan sebab dah gagal untuk
membantu rakyat Malaysia menyokong serta memahami GST.



Tapi...ada ke menteri dekat Malaysia yang letak jawatan sebab gagal bantu rakyat?


No comments:

Post a Comment