Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dengan sukacita mengambil maklum bahawa
perhimpunan “May Day” / Anti-GST di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2015
telah berlangsung dengan aman dan juga telah dimudahcara oleh pihak
polis.
Walau bagaimanapun, Suhakam telah mengenal pasti
beberapa aspek di mana hak kepada kebebasan berhimpun secara aman
boleh dipertingkatkan.
Suhakam kesal dengan penangkapan
beberapa orang peserta perhimpunan aman tersebut, dan menyeru pihak
berkuasa untuk membebaskan semua orang yang ditahan dengan segera dan
tanpa syarat, kerana hak untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan
aman adalah penting untuk demokrasi yang berfungsi.
Suhakam mengulangi bahawa hak kepada kebebasan berhimpun secara
aman di Malaysia dijamin didalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,
Perkara 20 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perkara 24
Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean.
Suhakam menekankan semula
bahawa sebarang sekatan kepada hak kepada kebebasan berhimpun secara
aman mestilah perlu, seimbang dan tidak mengancam nilai-nilai toleransi
dan pluralisme.
Suhakam juga menegaskan bahawa polis mempunyai
obligasi untuk melindungi dan memudahcarakan perhimpunan aman,
termasuk perhimpunan yang menyuarakan perbezaan pendapat. Tindakan
penangkapan dan pendakwaan peserta selepas sesuatu perhimpunan aman
bukan sahaja adalah tidak perlu tetapi juga tidak seimbang.
Suhakam juga kecewa dengan apa yang kelihatan sebagai satu taktik
tangkapan secara besar-besaran berikutan suatu perhimpunan aman dan
berpendapat bahawa penangkapan dan tempoh tahanan yang berpanjangan
tidak selaras dengan prinsip-prinsip kebolehizinan sekatan kepada
hak-hak asasi manusia, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang hak
asasi manusia antarabangsa.
Oleh itu, Suhakam menyeru pihak
berkuasa untuk memastikan bahawa tiada sesiapa yang dijenayahkan atau
terdedah kepada ancaman atau ugutan dan ganguan sebenar, kerana
melaksanakan hak perlembagaan mereka untuk berhimpun secara aman.
Suhakam menyeru pihak berkuasa untuk mengiktiraf bahawa hak kepada
kebebasan berhimpun secara aman memainkan peranan penting dalam
kemunculan dan penyelenggaraan sistem demokrasi yang berkesan, dan
menggesa Kerajaan untuk menunjukkan komitmen dalam menegakkan standard
hak asasi manusia antarabangsa dengan menggalakkan persekitaran yang
selamat dan yang membolehkan semua rakyat Malaysia untuk melaksanakan
hak kepada kebebasan berhimpun secara aman.
Pihak berkuasa juga
hendaklah memastikan bahawa anggota polis dilatih secukupnya berhubung
dengan norma-norma antarabangsa mengenai hak kebebasan berhimpun
secara aman. –
* Dr Khaw Lake Tee merupakan pemangku pengerusi Suhakam.
No comments:
Post a Comment