Sunday, 17 May 2015

FAM rujuk kes rusuhan ke J/kuasa Tatatertib



SINAR HARIAN







 final Piala FA Sebuah
ambulans musnah dibakar oleh penyokong Terengganu dalam rusuhan bola
sepak selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu
dengan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala
Terengganu, malam tadi. - Foto Bernama










PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan merujuk kes
rusuhan penyokong Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, kelmarin‎ kepada
Jawatankuasa Tatatertibnya.



Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jawatankuasa
berkenaan akan meneliti segala aspek berhubung kes rusuhan berkenaan
sebelum membuat tindakan lanjut.



Beliau turut memberi jaminan bahawa FAM akan menyiasat bantahan pemain
Terengganu berhubung gol pemain pertahanannya, Ahmad Nordin Alias pada
penghujung babak perlawanan yang dibatalkan pengadil, Mohd Amirul Izwan
Yaacob kerana pemain itu dikatakan berada pada kedudukan ofsaid.



"Merujuk kepada bantahan pemain Terengganu selepas gol mereka
dibatalkan, keputusan pengadil adalah muktamad. Bagaimanapun, kita masih
menunggu laporan lengkap daripada pegawai perlawanan berhubung apa yang
berlaku," kata Hamidin dalam satu kenyataan, semalam.



Terengganu menang 3-2 ke atas wakil Singapura, Lions XII pada aksi
timbal balik, kelmarin namun gagal mara ke final Piala FA berdasarkan
peraturan gol di tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat.



Lions XII menang tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, 9 Mei lepas.



Penyokong Terengganu dilaporkan menimbulkan kekecohan dengan merosakkan
harta benda awam termasuk membakar sebuah ambulans yang diletakkan di
pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas skuad Penyu gagal
melangkah ke final Piala FA.



Kekecohan berkenaan dikatakan berpunca rasa tidak hati mereka terhadap
keputusan Mohd Amirul Izwan yang membatalkan jaringan keempat Terengganu
menerusi tandukan Ahmad Nordin pada minit ke-89 kerana dikatakan berada
pada kedudukan ofsaid.



Lions XII bakal menentang Kelantan pada aksi final Piala FA pada 23 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Kelantan yang muncul juara Piala FA pada 2012 dan 2013 mencipta kejutan
selepas mengalahkan juara bertahan, Pahang menerusi keputusan agregat
3-2 pada satu lagi aksi separuh akhir. - Bernama


No comments:

Post a Comment