SINAR HARIAN
DENDA yang dikenakan terhadap Persatuan Bola Sepak
Pulau Pinang (FAP) gara-gara tindakan liar penonton kini mencecah
RM40,000, kata Presiden FAP Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.
Sambil meminta penyokong bertindak rasional dalam segala tindak tanduk
mereka, beliau berkata perkara tersebut tidak sihat untuk pembangunan
bola sepak negeri.
"Bukan ini caranya menyatakan sokongan, berilah ruang dan peluang
kepada kami untuk buat yang terbaik demi pasukan," katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Beliau berkata seramai 200 anggota keselamatan bertugas setiap kali
perlawanan berlangsung terdiri daripada polis, Rela dan Pasukan Simpanan
Persekutuan (FRU).
Bagaimanapun adalah mustahil untuk mengawal barang-barang yang dibawa
masuk ke dalam stadium dalam keadaan ribuan penonton bersesakan di pintu
masuk, katanya.
Nazir Ariff berkata pihaknya dalam proses mengemukakan rayuan kepada
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi
mengurangkan kadar denda itu.
Jumaat lepas sekumpulan penyokong yang menamakan diri mereka sebagai
Brigade 07 membakar suar selepas perlawanan dengan UiTM FC sebagai tanda
protes terhadap Alberto Goncalves dan mahu pemain itu dikeluarkan
daripada pasukan.
Ribuan bekas minuman pula dibaling ke dalam kawasan padang dan trek
pada aksi menentang Johor Darul Ta'zim II pada 3 April lepas.
Dalam pada itu beliau turut menafikan desas-desus kononnya Pengurus
Pasukan Mohd Azizudin Mohd Shariff meletak jawatan seperti tersebar di
laman sosial baru-baru ini.
"Beliau ada bersama kami dan tidak ke mana-mana. Tidak tahu siapa yang
mulakan khabar angin itu dan mengapa mereka buat begitu," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment