KUALA TERENGGANU - Seorang remaja wanita tidak menyangka keputusannya
berehat di rumah bersendirian pada waktu tengah hari turut tidak selamat
apabila dirogol seorang lelaki bertopeng ala-ala ‘spiderman’, di
kediamannya di Kampung Bukit Guntung, Marang, Rabu lalu.





Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17
tahun dikatakan sedang lena tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan
dengan kehadiran lembaga bertopeng tersebut.





Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd
Aziz Wan Hamzah berkata, suspek bukan sahaja bertopeng, malah turut
memakai sarung tangan itu terus bertindak menekup mulut sebaik menyedari
mangsa tersedar daripada tidurnya.



“Suspek menekup mulut mangsa bagi mengelak dia menjerit, bagaimanapun
dengan kudrat yang ada, mangsa cuba melawan untuk menyelamatkan dirinya.





“Namun, ketika itu juga suspek bertindak keluarkan pisau lipat lalu
diacukan ke arah mangsa sebagai ugutan sekiranya mangsa masih berdegil
mahu melawan sebelum merogolnya,” katanya di pejabatnya, semalam.





Wan Abd Aziz berkata, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek
terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersendirian menerusi pintu
utama rumah.





Jelasnya, mangsa yang ditinggalkan itu terus cuba hubungi ibunya yang
ketika itu di tempat kerja, namun gagal sebelum mengambil keputusan
menghubungi rakan baiknya dan seterusnya membuat laporan polis.





“Siasatan awal mendapati tiada tanda kediaman mangsa dipecah masuk
suspek, namun siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti identiti
serta bagaimana cara suspek menceroboh masuk rumah mangsa.





“Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan n susulan,” katanya.





Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana
merogol yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20
tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.