Saturday, 16 May 2015

RAKYATNEWS















KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan memastikan pengenaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berasaskan penggunaan bagi
perkhidmatan prabayar telefon dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.



Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, SKMM dan Kastam juga
memastikan semua syarikat telekomunikasi mematuhi arahan kerajaan untuk
melaksanakan kaedah itu seperti yang telah diputuskan dalam mesyuarat
kabinet baru-baru ini.



"Selain itu, pengauditan juga akan dilakukan bagi memastikan ketepatan
nilai potongan GST berdasarkan nilai kredit yang telah digunakan,"
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Rabu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek mengumumkan bahawa kabinet bersetuju agar GST ke atas perkhidmatan
prabayar telefon dikenakan berdasarkan penggunaan.



Kerajaan juga bersetuju agar kadar nilai kad prabayar telefon ditetapkan
pada harga RM10 akan mendapat nilai yang sama apabila diaktifkan.



Menurut Ahmad Shabery, langkah itu kerana kerajaan berpandangan ia
adalah lebih sesuai di mana kerajaan tidak akan mengenakan cukai sebelum
perkhidmatan digunakan.



Halim berkata, SKMM turut akan memantau saranan Ahmad Shabery yang
meminta syarikat telekomunikasi melaksanakan diskaun bagi perkhidmatan
mereka untuk kumpulan sasar tertentu seperti golongan pelajar.



Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata
pihaknya akan mempergiat pemantauan ke atas pembangunan proses penukaran
GST berasaskan penggunaan untuk tambah nilai prabayar itu.



Katanya, ia bagi memastikan pelaksanaan sistem ini berjalan lancar dan
telus serta mengelak kekeliruan yang akan timbul pada masa akan datang.



Katanya, buat masa ini, pengenaan GST atas tambah nilai prabayar akan
diteruskan pada kaedah sedia ada sehingga sistem 'beli RM10 dapat RM10'
dilaksanakan.






No comments:

Post a Comment