KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini mendesak
semua pihak dalam Lembaga Tabung Haji (TH) yang terlibat dalam skandal
1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk meletak jawatan.
Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, ia bagi mengembalikan penubuhan dan urus tadbir TH ke objektif asal.
"Unsur-unsur 1MDB perlu 'dibersihkan' daripada TH. Langkah ini bagi
memastikan keyakinan orang Islam terhadap TH dapat dipertahankan.
"Semua pihak khususnya pengurusan tertinggi TH yang terlibat dengan
skandal ini harus meletak jawatan. Dalam masa yang sama, kami ingin
mendesak Pengerusi TH sendiri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk
meletak jawatan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Katanya, Abdul Azeez telah melakukan dua kesalahan yang mencalar integriti dan imej TH terhadap orang ramai.
"Pertama, beliau menafikan pembelian tanah tersebut dan sehari selepas
itu pihak pengurusan TH pula menyokong apa yang tersebar di media
sosial.
"Kedua, apa yang dibuat pada hari Sabtu lepas adalah menjual semula
tanah tersebut dengan keuntungan. Jadi kami ingin menyoal adakah ini
fungsi TH? Adakah untuk menjaga hartanah Bumiputera di kawasan bandar?"
soalnya.
Abdul Azeez sebelum ini menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan
desakan supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji yang
disandang sejak 2013.
Menurut Abdul Azeez, ini kerana beliau tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan TH.
Artikel berkaitan: 'Abdul Azeez: Saya tidak akan letak jawatan'
Jelas Amidi lagi, keperluan menjaga dan mempertahankan hartanah
Bumiputera terutamanya di Kuala Lumpur boleh masih boleh direalisasikan
menerusi bantuan pelbagai dana lagi seperti Mara, Dana Amanah Hartanah
Bumiputera.
Sehubungan itu, pihaknya mendesak semua pihak yang terlibat dengan
skandal tersebut meletak jawatan bagi mengekal kepercayaan orang ramai
terhadap TH.
No comments:
Post a Comment