Monday, 11 May 2015

DAP cabar Najib arahkan anak tirinya beli tanah LTH

File photo of man walking past a 1 Malaysia Development Berhad billboard at the funds flagship Tun Razak Exchange development in Kuala Lumpur



Roketkini.com





KUALA LUMPUR: DAP hari ini mencabar Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak supaya mengarahkan anak tirinya Riza Aziz untuk membeli
tanah Tun Razak Exchange (TRX) daripada Lembaga Tabung Haji jika benar
bahawa ia merupakan urusan komersial yang sangat baik.




Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, jika pembelian
tanah itu merupakan keputusan komersial, mengapa Najib tidak mengarahkan
Riza menjual hartanah beliau di Amerika Syarikat untuk mendapatkan
tanah Tun Razak Exchange (TRX) daripada LTH.




“Jika LTH begitu mudah untuk mendapatkan ‘beberapa juta ringgit’,
kenapa 1MDB yang begitu terdesak untuk mendapatkan dana, tidak
menjualnya kepada pihak yang didakwa sanggup membeli dengan harga lebih
tinggi berbanding apa yang LTH sanggup bayar?




“Oleh itu, kami menyeru Najib untuk menunjukkan keteladanan dan
segera menasihatkan Riza untuk melupuskan hartanah mewahnya di Amerika
Syarikat serta membeli tanah dari LTH,” tegas Tony dalam satu kenyataan.




New York Times pada Januari lalu melaporkan bahawa Riza telah membeli
kondominium mewah di Park Laurel (New York) dan banglo di Beverly Hills
(Los Angeles), yang masing-masing bernilai RM121 juta serta RM63.2
juta.




Lebih menarik lagi, kedua-dua hartanah mewah bernilai RM184 juta tersebut telah dibeli secara tunai daripada Jho Low.




Tony yang juga Setiausaha Publisit DAP menyatakan, salah satu sebab
mengapa 1MDB berada dalam kesulitan dengan hutang sebanyak RM42 bilion
ialah kerana syarikat-syarikat Jho Low didakwa telah menyedut berbilion
ringgit daripada 1MDB.




Jelasnya, sekarang 1MDB terpaksa membereskan segala aset yang
diperolehi pada harga murah daripada kerajaan untuk mengumpul dana bagi
menampung hutang.




“Dalam kes ini, 1MDB menjual 1.56 ekar tanah kepada LTH dengan nilai
RM2,773 satu kaki persegi walaupun tanah itu mereka perolehi pada kadar
hanya RM64 satu kaki persegi.




“Oleh kerana Najib percaya bahawa dengan membayar RM2,773 satu kaki
persegi untuk sebidang tanah adalah satu urusniaga yang baik, maka dia
hendaklah segera menasihati Riza untuk melupuskan RM184 juta hartanah di
Amerika Syarikat dan membawa balik wang tersebut bagi membeli tanah
daripada LTH,” tegas Tony. – Roketkini.com






No comments:

Post a Comment