Zam dakwa mendapat maklumat yang sah bahawa
Najib tidak menyokong Tun M dalam Pemilihan UMNO pada 1987, sebaliknya
Najib menyokong Tengku Razaleigh.
PETALING JAYA: Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa Datuk Seri Najib Tun
Razak tidak menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pemilihan UMNO pada
1987.
Bekas Menteri Penerangan itu sebaliknya mendakwa, Najib menyokong Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden UMNO.
Sehubungan itu, Zam mendakwa Najib berbohong apabila membuat pengakuan beliau menyokong Tun M dalam Pemilihan UMNO 1987.
“Saya tahu kerana saya adalah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu
masa itu yang mendapat maklumat yang sah daripada wartawan yang bertugas
di lapangan. Jika tidak kerana tekanan Anwar Ibrahim, Najib takkan
sokong Mahathir,” tulisnya di blog zamkata.blogspot.com.
Zam berkata, beliau kembali ingat fakta itu selepas mendapat mesej daripada kenalan yang juga bekas pegawai tinggi UMNO.
“Dia bohong sokong Dr Mahathir 1987. Dia mula sokong TR (Tengku
Razaleigh) saya masih ingat lagi. Masa itu dia timbalan AI (Anwar
Ibrahim). AI yang tekan dia sokong Dr M, banyak saksi yang masih hidup.
‘He is really desperate’ (dia benar-benar terdesak). Dr M menang dengan
44 undi . ‘He didn’t campaign at all. He is playing safe’ (dia tak
berkempen langsung, dia ambil jalan selamat),” tulis Zam memetik pesanan
bekas pegawai berkenaan.
Zam berkata, bekas pemimpin UMNO itu menghantar mesej kepadanya
selepas Najib berucap di Tawau dan mendakwa menyokong Dr Mahathir dalam
persaingan pucuk pimpinan 1987.
Zam berkata, memang benar Dr Mahathir tidak berundur walaupun hanya
mendapat sokongan 50 peratus dalam parti, namun keadaan dan situasi
mereka berbeza.
“Hakikatnya pada masa itu walaupun parti berpecah belah tetapi
Mahathir berani bertahan kerana sokongan rakyat kepadanya di luar parti
terutamanya Melayu di samping Cina dan India adalah kuat dan kedudukan
BN dalam Parlimen teguh tetapi sekarang orang Cina dan India tidak
menyokong Najib kecuali “I Love You Palsu”,katanya.
Malah, apa yang berlaku ketika zaman transformasi Najib, rakyat sudah
hilang keyakinan terhadap kepimpinannya baik dari segi, agama mahupun
bangsa.
Zam sekali lagi menyarankan supaya Majlis Tertinggi UMNO berani
menyuarakan perkara sebenar bahawa sokongan Ketua-ketua UMNO Bahagian
dan rakyat yang dinyata sebelum ini hanyalah palsu belaka.
Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Khairy Jamaluddin perlu berani
dan tidak hanya berjuang untuk menyelamatkan diri serta kedudukan
semata-mata sedangkan rakyat menaruh harapan penuh kepada mereka.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Khairy Jamaluddin tidak sewajarnya ‘hanya berani di luar tetapi kecut di dalam’.
“Apa gunanya berjuang kalau sekadar untuk menyelamatkan diri ketika rakyat tergugat dan menaruh harapan yang sangat tinggi .
“Inikah sikap seorang pemimpin sejati atau sekadar untuk mengekalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri?”, soal Zam.
No comments:
Post a Comment