Oleh LAU WENG SAN
Saya telah ditanya oleh media tentang pandangan saya terhadap
cadangan sesetengah pihak untuk mewajibkan seseorang calon pilihanraya
untuk memenuhi syarat mendapat Kepujian dalam mata pelajaran Bahasa
Malaysia dalam peperiksaan SPM.
Selain bersetuju dengan pandangan rakan-rakan saya dalam Pakatan
Rakyat, saya juga ingin menekankan bahawa syarat-syarat yang dikenakan
ini sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Syarat-syarat kelayakan seseorang Ahli Parlimen telah diterangkan
dengan jelas dan lengkap dalam “Bab 4 Badan Perundangan Persekutuan”,
iaitu Perkara 44 hingga 65 dalam Perlembagaan
Persekutuan. Isi
kandungannya lebih kurang sama dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri
masing-masing perihal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Maka jelas bahawa syarat ini tidak dinyatakan dalam Perlembagaan
Persekutuan. Sekiranya ia dijadikan undang-undang, maka besar
kemungkinan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini akan dicabar dan
dianggap sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana SPR
telah bertindak di luar bidang kuasa yang dibenarkan dan diperuntukkan
oleh Perlembagaan Persekutuan (ultra vires).
Maka untuk ini berlaku, Perkara-perkara yang disebut di atas dalam
Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda menurut Perkara 159(3) dalam
Perlembagaan Persekutuan, di mana Rang Undang-undang Pindaan
Perlembagaan Persekutuan perlu disokong lebih daripada dua pertiga Ahli
Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Dalam keadaan di mana kerajaan persekutuan Barisan Nasional tidak
mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, pindaan ini
bakal menghadapi cabaran yang besar untuk diluluskan di Dewan Rakyat.
Pada pendapat saya, isu ini bukan isu utama bagi SPR. Selain daripada
memastikan perjalanan pilihanraya dijalankan mengikut lunas-lunas
demokrasi dan peruntukan undang-undang, satu lagi isu utama bagi SPR
ialah persempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya yang perlu
dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat
pada 2003.
Persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR
di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pengundi mudah
mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah
kawasan pilihan raya yang terlampau besar dan luas dikecilkan atau
dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada
100,000 orang.
Notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri (DUN) sebenarnya perlu diwartakan pada Disember 2014
yang lalu tetapi telah ditangguhkan pada masa itu berikutan banjir yang
melanda beberapa negeri pada masa itu.
Maka saya menyeru kepada SPR untuk fokus kepada isu yang ada di
hadapannya dan tidak dipesong oleh perkara yang tidak diperuntukkan
kuasa kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan
Lau Weng San adalah ADUN Kampung Tunku, Selangor
No comments:
Post a Comment