KUALA TERENGGANU – “RM3 pun orang berkira sekarang ini, apatah lagi
makanan yang mahal," jelas penjual Nasi Bajet KL, di Jalan Pasir
Panjang, di sini.
Peniaga nasi bajet, Nor Christina Jefri Bernard, 38, berkata, dia yang
berniaga hampir tiga bulan di kawasan itu dapat merasai sendiri kesan
daripada pelaksanaan GST apabila jualannya berlaku sedikit penurunan
pada awal April lalu.
“Sekarang dah ok, pelanggan pun ramai yang datang semula, mungkin
peringkat awal dulu mereka masak sendiri tetapi menghadapi masalah
kekangan masa, kemudian mengambil keputusan untuk membeli di sini
semula.
“Kebanyakan pelanggan di sini adalah mereka yang sudah berkeluarga,
pelajar kurang sebab di kawasan ini banyak rumah penduduk berbanding
pusat pengajian tinggi,” ceritanya ketika ditemui di gerai Nasi Bajet KL
berhadapan Pasar Bukit Besar, di sini.
Christina berkata, harga bahan mentah yang meningkat terutama selepas 1
April menjadi satu cabaran untuknya mencari bahan mentah yang murah dan
berkualiti.
“Sebagai peniaga yang tersepit untuk menaikkan harga, saya perlu
mencari sumber bahan mentah yang murah dan berkualiti. Seperti saya,
setiap hari perlu sediakan lebih kurang lima kilogram beras, empat ekor
ayam dan lain-lain lagi.
“Saya perlu cari bahan-bahan mentah ini di tempat yang lebih murah kerana tidak mahu menanggung terlalu banyak rugi,” jelasnya.
Manakala menurut rakan kongsinya, Nor Syuhada Abd Razak, 24, berkata,
dalam masa sama, mereka turut membuat penghantaran terus kepada
pelanggan.
“Penghantaran perlulah melebihi 10 bungkus ke atas, termasuk menerima
tempahan daripada jabatan kerajaan dan swasta di sekitar Kuala
Terengganu sahaja,” katanya.
Mereka berhasrat membuat penghantaran kerana memahami kekangan masa
orang ramai terutama pekerja kerajaan dan swasta yang tidak mempunyai
masa untuk keluar dan membeli makanan.
“Kami akan hantar sampai ke tangan pelanggan dan mereka tidak perlu risau," katanya.
No comments:
Post a Comment