ALOR PONGSU - Seorang warga emas ditemui maut di hadapan pintu
rumahnya, dipercayai menjadi mangsa amukan pesakit mental yang tinggal
berdekatan rumahnya di Kampung Alor Pongsu, di sini petang semalam.
Mayat mangsa, Shamsuri Hassan, 74, ditemui sepupunya yang tinggal di kampung berhampiran setelah dimaklumkan anak mangsa.
Sepupu mangsa, Muhamad Ibrahim, 60, berkata, dia mengetahui mengenai
kejadian itu pada jam 2.30 petang dan bergegas ke rumah mangsa.
Menurutnya, setibanya di rumah berkenaan, dia melihat kepala mangsa cedera malah darah berlumuran di lantai.
“Saya segera melaporkan kejadian itu ke balai polis berhampiran dan
menghubungi Klinik Kesihatan Alor Pongsu untuk memeriksa keadaan sepupu
saya,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian di Kampung Alor
Pongsu, di sini semalam.
Muhamad berkata, dia turut dimaklumkan mangsa meninggal dunia akibat
dibunuh abang jiran berusia 40-an yang dipercayai mengalami masalah
mental.
Sementara itu, adik suspek yang enggan dikenali berkata, abangnya yang
merupakan bekas anggota Komando mengalami masalah mental sejak beberapa
tahun lalu, sebelum ini tinggal di Ipoh bersama isteri dan anak-anaknya.
Bagaimanapun, menurutnya, sejak beberapa bulan lalu, abangnya sering
dirasuk dan meracau, menyebabkan dia membawa abangnya tinggal sebentar
di rumahnya di Kulim untuk menjalani perubatan Islam.
“Dalam tempoh dua hari sebelum ini, abang saya sering berkelakuan
agresif dan hampir mencederakan saya dengan memukul serta mencekik.
“Pagi tadi, abang saya yang sepatutnya pergi ke Pulau Pinang bersama
saya bagi membeli barangan untuk perubatan Islam membawa lari kereta
saya ke rumah keluarga kami di sini, dipercayai mahu berjumpa emak
kami," katanya.
Adik suspek berkata, dia kemudian menerima maklumat abangnya bertindak
agresif membunuh mangsa yang sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan
mereka sekeluarga.
Jelasnya, di sebalik masalah ‘rasukan’ dialami, abangnya itu sebenarnya
seorang yang penyayang dan sangat menghormati mangsa yang dianggapnya
sebagai bapa kandung.
“Saya tidak mengetahui punca sebenar mangsa dibunuh oleh abang saya
memandangkan dia (suspek) sebelum ini sering menziarahi mangsa setiap
kali pulang ke rumah emak,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar
Yaacob berkata, mangsa yang merupakan pesara kerajaan baharu kematian
isteri tiga bulan lalu dan tinggal bersama tiga anak yang masih bujang.
Katanya, mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap, tidak berbaju dan memakai kain pelikat.
“Setakat ini, kami sudah menahan seorang pesara tentera berusia 42 tahun yang dipercayai suspek kejadian.
“Motif kejadian masih dalam siasatan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment