SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen
Rompin dan Permatang Pauh dilihat sebagai 'wake-up call' atau kejutan
peringatan kepada Barisan Nasional (BN).
Pemerhati politik berpendapat, kemerosotan undi majoriti BN di PRK
Rompin dan kegagalan di Permatang Pauh, memerlukan pendekatan yang lebih
efisien untuk BN memenangi hati rakyat.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains, Prof Madya
Mohamad Md Yusoff berkata, pucuk pimpinan perlu bekerjasama dan bekerja
lebih kuat lagi bagi memperkasakan sokongan rakyat.
"Kita lihat penurunan undi itu begitu ketara di Rompin, majoriti yang
diperoleh tidak meyakinkan bahawa kita (BN) sebenarnya berada dalam zon
yang selamat.
"PRK tak memungkinkan BN boleh kalah begitu teruk sekali walaupun ada
peralihan kepimpinan tetapi ini adalah satu 'wake up call'," katanya
dalam rancangan 'Ruang Bicara' yang disiarkan secara langsung di
BernamaTV malam tadi.
Rancangan itu yang bertajuk 'PRK: YB Pilihan' dihoskan oleh Dahlan Maamor.
Turut menjadi tetamu ialah Timbalan Speaker Parti Gerakan Rakyat, Syed
Razak Alsagoff bagi membincangkan wakil rakyat yang menjadi pilihan
rakyat di sesuatu kawasan itu.
Pada PRK Parlimen Rompin kali ini, BN tewas di lima daripada 38 pusat
daerah mengundi selain beberapa saluran peti undi di tanah rancangan
Felda Keratong 2, 4 dan 5.
Walaupun kemenangan calon BN, Datuk Hasan Arifin pada PRK Rompin sudah
diduga banyak pihak, namun jumlah majoriti undi yang berkurangan hampir
sekali ganda, itu nyata jauh tersasar daripada harapan pucuk pimpinan
BN.
Bagi PRK Parlimen Permatang Pauh pula, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi kawasan itu dengan majoriti 8,841
undi.
Mohamad berpendapat BN perlu lebih mempelajari 'digital marketing'
(pemasaran digital) melalui media sosial dengan lebih drastik dan
berkesan serta mengambil perhatian terhadap keperluan dan kehendak
generasi muda.
"Kita kena lihat macam mana nak gunakan digital media untuk pemasaran
politik di mana peranan kita boleh menggandingkan dan mensosialisasikan
anak muda kita supaya mereka faham dan ikhlas.
"Ini yang dikatakan jihad politik... bukan sahaja jihad ekonomi, jihad politik pun penting," katanya.
Selain itu, Syed Razak pula berkata masih terdapat banyak isu yang
perlu diselesaikan dan diperjelaskan supaya BN menjadi lebih bagus pada
masa akan datang.
Beliau berkata kerajaan perlu cepat dalam menangani isu dan persepsi yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu. - Bernama
No comments:
Post a Comment