SABAK BERNAM – [KEMASKINI] “Dugaan ini satu hikmah, saya reda kerana
dapat hidayah tertinggi daripada ALLAH,” itu luahan ahli keluarga
terdekat seorang ahli Familia Myvi Club (FMC) dikenali sebagai Yana
berikutan beberapa kenyataan kontroversi wanita itu dalam media sosial
yang menafikan ahli kelab terbabit terlibat dalam kemalangan di
Kilometer 6.2 Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke).



Sumber terdekat keluarga itu berkata, Yana mengambil keputusan untuk
berdiam diri dan berharap masyarakat berhenti menabur fitnah di laman
sosial serta menghukumnya.



Katanya, pihak keluarga Yana juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Sabak Bernam kelmarin, selepas mendapati Yana dihentam
teruk pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan.



“Saya tak nak kecoh-kecoh, biarlah apa orang nak kata sekali pun.
Selagi kami di pihak yang benar, kami tak takut, buat apa nak lari kalau
tak salah. Yana tak ke mana-mana, apa yang dikatakan dalam Facebook
(pihak yang menubuhkan Facebook Yana FMC) semuanya tak benar,” katanya.



Sumber itu berkata, berita yang disiarkan itu dikendalikan oleh individu yang sengaja menjadikan Yanasebagai mangsa keadaan.



“Biarlah ALLAH yang balas. Cerita itu tak benar dan diputarbelitkan.
Kami tak minta makan minum, takmencuri, bukan pengemis atau peminta
sedekah. Tolonglah jangan ganggu kami lagi, berilah kamiruang untuk
bertenang,” rayunya.



Sumber itu turut menafikan Yana mempunyai ‘kabel orang dalam’ dan merupakan ahli Puteri Umno seperti yang didakwa.



"Perkara itu tidak benar dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab menerusi Facebook Yana FMC," katanya.



Yana sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila ramai pihak
mengecam tindakannya selepas menyebarkan status di aplikasi WhatsApp
menyatakan dia mempunyai kenalan pegawai polis berpangkat tinggi
sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat.



Kelmarin, usaha Sinar Harian untuk menemui Yana di rumahnya di Jalan
Pegawai, di sini, tidak kesampaian setelah ibunya memaklumkan wanita
berusia 24 tahun itu tiada di rumah kerana berjumpa dengan keluarga
mangsa nahas terbabit.



Ibunya meminta Sinar Harian berjumpa ahli keluarganya termasuk Yana
keesokan harinya (semalam) bagi membolehkannya berbincang dengan ahli
keluarga yang lain berhubung hasrat wartawan mendengar penjelasan dan
pengakuan daripada Yana sendiri tentang isu berkenaan.



Bagaimanapun, Sinar Harian yang tiba di rumah keluarga Yana semalam
hampa, selepas keluarganya mengambil keputusan enggan mengeluarkan
sebarang kenyataan kepada media.



Salah seorang jiran mereka yang enggan dikenali berkata, sejak
peristiwa kemalangan itu, nama Yanatiba-tiba hangat diperkatakan.



“Mulanya tak tahu, tapi anak saya ada tunjukkan Facebook dan laporan
berita tentang Yana di surat khabar. Tapi, saya tak tahu perkara ini
benar atau sengaja dibuat,” katanya.



Seorang rakan sekerja Yana yang enggan identitinya didedahkan berkata,
Yana sebelum ini pernah membuat pengakuan dalam grup WhatsApp rakan
sekerjanya, memaklumkan dia menjadi mangsa keadaan selepas kenyataannya
yang dihantar dalam satu grup Whatsapp di ‘screenshot’ oleh salah
seorang ahli grup berkenaan.



Menurutnya, kenyataan Yana merujuk kepada ‘orang dalam’ juga bukan
serius dan hanya dianggap sebagai mengusik kawan-kawannya dalam grup
tersebut agar bertenang.



“Kami simpati dengan apa yang berlaku kepada Yana. Dia ada beri
penjelasan dia tak terlibat dalam kemalangan itu. Kita harap supaya
pihak di luar sana berhenti daripada terus mengutuk dan menghukum Yana.



“Cukuplah penderitaan yang dia terpaksa tanggung selama ini.
Hentikanlah kritikan dan kutukan terutama di media sosial kerana ia
mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.



Rakannya itu juga turut menyifatkan Yana sebagai seorang rakan setugas
yang baik dan bersikap lemah-lembut dalam pergaulan, selain aktif dengan
setiap program yang dianjurkan kelab berkenaan.



“Kenal dulu Yana, baru tahu dia macam mana, jangan tuding jari, tuduh
macam-macam. Berilah dia peluang dan jangan menangguk di air keruh,”
katanya yang memaklumkan Yana tidak hadir bekerja sejak berita
mengenainya tersebar.



Puteri Umno nafi



Puteri Umno Bahagian Sabak Bernam menafikan Yana mempunyai sebarang rekod keahlian di 35 cawangan Puteri bahagian itu .



Ketuanya, Nor Farhana Alham berkata, hasil semakan pihaknya mendapati,
Yana bukan ahli Puteri Umno bahagian, sebaliknya hanya mendaftar sebagai
pengundi di Kampung Banting, Sabak Bernam.



Menurutnya, wanita yang tinggal di Sabak Bernam itu dipercayai
mendaftar sebagai pemilih dengan menggunakan alamat rumah datuknya.



“Kami dah buat semakan nama dan nombor MyKad mendapati dia bukan ahli
Puteri dan tidak pernah mendaftar sebagai ahli Puteri Umno Sabak Bernam
dan Malaysia seperti yang ditegaskan Ketua Puteri Umno, Datuk Mas
Ermieyati Samsudin sebelum ini,” katanya.



Nor Farhana berkata, Puteri Umno bahagian juga melahirkan rasa simpati
kepada ahli keluarga mangsayang terlibat dalam kemalangan itu dan
berharap agar tindakan tegas diambil terhadap individu yang menjadi
punca kematian tiga beranak dalam kemalangan terbabit.



“Mereka terlibat dalam kejadian itu perlu dihadap ke muka pengadilan
bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.



Dalam kejadian Sabtu lalu, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35; serta
isteri, Nova Safitri Azhari, 27; dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa yang
berusia tujuh bulan maut setelah kenderaan dinaiki mereka berlanggar
dengan dua Perodua Myvi sebelum terbalik.