Friday, 8 May 2015

Umno keanak-anakan ungkit dana masjid







Oleh MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH





SIKAP keanak-anakan Umno-BN yang mengungkit peruntukan kerajaan Pusat senilai RM 75.21
juta untuk pembinaan 14 masjid di seluruh Pulau Pinang sejak tahun
2007 terserlah. Mereka mengungkit tatkala sibuk menarik perhatian
pengundi Melayu di Permatang Pauh baru-baru ini.



Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin berbangga dengan sejumlah
besar peruntukan termasuk tambahan lebih RM180 juta untuk aktiviti
keagamaan.




Rakyat yang bijak tidak akan termakan mudah angka
kasar sebegini. Umno-BN perlu spesifikkan bagaimana wang peruntukan itu
dibelanjakan kerana ‘track record’ kerajaan BN yang tiris dan korup
dalam pelbagai isu tabung, dana dan bantuan.



Misalnya tabung khas
untuk mangsa tsunami Kuala Muda Kedah. Di mana peruntukan itu disalurkan
dan apa laporan auditnya? Hakikatnya kini masih ada ratusan pendudukan
di persisiran pantai Kuala Muda Kedah yang belum menerima tapak tanah
yang digazetkan dan rumah baru yang dijanjikan.

Hanya fasa pertama sahaja yang menerima rumah baru di Taman Permatang Katong.



Kemudian dikatakan dana disalurkan ke Kuala Muda Seberang Prai di mana rumah kurang risiko tsunami pula menerima rumah baru.



Maklumlah ia kawasan Perdana Menteri ketika itu.




Contoh terbesar kedua adalah penyelewengan dana RM800 juta untuk
bantuan banjir Pantai Timur. Seharusnya sebahagian peruntukan berjumlah
di antara RM500 ke RM600 juta diserahkan kepada kerajaan Kelantan,
namun, dalam keadaan isu yang berlarutan semua faham bahawa angka
berkenaan ‘wayang’ sahaja. Ada yang makan atas angin di atas penderitaan
saudara sendiri.



Kembali kepada isu bantuan masjid, fakta yang
perlu diterima umum adalah di zaman Pakatan Rakyatlah masjid di Pulau
Pinang bebas berkuliah, bebas bercakap isu hudud, mengkritik maksiat
kerajaan Pusat dan ada penceramah yang juga bebas mengkritik jika ada
kesilapan Pakatan Rakyat sendiri.



Ada penceramah yang digam di
negeri tertentu sebaliknya bebas berceramah di Pulau Pinang sejak
Pakatan Rakyat ‘menjaga’ masjid di negeri tersebut. Inilah kebebasan
yang sebenarnya diperlukan oleh para aktivis masjid dan surau iaitu
kebebasan memancarkan dakwah di masjid dan surau bukannya dambakan kubah
emas dan mimbar perak sebagai perlambangan pemurahnya sesebuah
kerajaan.



Jika ingin dibandingkan dari aspek perangkaan, kerajaan
Pulau Pinang juga menjaga masjid dan pendidikan Islam melalui tambahan
peruntukan.



Sebanyak RM11.17 juta diperuntukkan pada tahun 2014
di bawah peruntukan pembangunan agar institusi masjid dan surau serta
institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat di seluruh Neger
i Pulau Pinang terus kekal membangun dan berdaya saing serta
peningkatan peruntukan sebanyak 9.3% berbanding tahun 2013 iaitu RM10.22
juta.



Pendek kata, usaha Umno menarik hari pengundi Islam dengan
mengungkit bantuan adalah sangat tidak berkesan bagi rakyat Permatang
Pauh yang telah lama celik dengan taktik rutin BN dalam semua PRK, iaitu
tabur bantuan dan ungkit bantuan.



(^) MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH Exco Dewan Pemuda PAS Kedah

No comments:

Post a Comment