Jika 1MDB gagal membayar hutang RM3.6 bilion
kepada enam bank antarabangsa itu secara undang-undangnya 1MDB telah
gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42 bilion hutangnya dan
berdepan 'cross default'.
PETALING JAYA: Jangkaan
hutang-hutang yang ditanggung 1MDB akan membawa risiko besar kepada
kestabilan kewangan negara mungkin jadi kenyataan, kata Rafizi Ramli.
Ini kerana, kata Naib Presiden PKR itu, 1MDB berisiko berdepan ‘cross
default’ kerana tidak mampu membayar hutang RM3.6 bilion kepada enam
bank antarabangsa diketuai oleh Deutsche Bank.
“Cross default” bermakna jika 1MDB gagal membayar faedah atau bayaran
pokok di dalam satu pinjaman/hutang, ia juga dikira telah gagal
memenuhi tuntutan bayaran bagi semua hutang-hutangnya yang lain.
Ini bermakna, jika tuntutan bayaran hutang RM3.6 bilion oleh enam
bank antarabangsa itu gagal dipenuhi dalam masa terdekat, 1MDB secara
undang-undangnya telah gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42
bilion hutangnya.
“Hutang-hutang RM42 bilion ini turut melibatkan sukuk dan bon yang
dibeli oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di samping pinjaman yang diberikan
oleh bank-bank tempatan. Jumlah bonnya juga besar dan akan mempunyai
kesan besar kepada pasaran bon negara.
“Oleh itu, ramalan awal saya bahawa satu hari nanti hutang-hutang
1MDB ini membawa risiko besar kepada kestabilan kewangan negara
(“systemic risk to the financial system”) kini mungkin menjadi
kenyataan.
“Ini menafikan jaminan yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional
termasuklah Khairy Jamaluddin yang kononnya 1MDB bukanlah satu risiko
kepada kestabilan kewangan negara,” katanya dalam kenyataan media pada
Rabu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak wajib
memberikan kenyataan segera bagaimana 1MDB bercadang membayar hutang
RM3.6 bilion yang boleh dituntut bila-bila masa ini.
Katanya, kegagalan 1MDB memenuhi tuntutan hutang RM42 bilion ini
adalah risiko besar kepada negara jika “cross default” terjadi akibat
dari tuntutan hutang RM3.6 bilion oleh bank-bank antarabangsa itu.
Rafizi berkata, risiko ‘cross default’ itu mungkin terjadi susulan
akhbar perniagaan Singapura Bussines Times yang melaporkan enam bank
antarabangsa itu akan menggunakan haknya meminta 1MDB membayar hutang
RM3.6 bilion lebih awal tempoh matang iaitu sebelum September 2015.
Katanya, 1MDB membuat hutang RM3.6 bilion itu dengan memberi cagaran
simpanan dana USD1.1 bilion yang kononnya disimpan di Bank BSI di
Singapura.
Katanya, laporan terkini menyebut bahawa dana USD1.1 bilion ini
mungkin tidak wujud, ia telah mewujudkan keadaan panik kepada enam bank
antarabangsa tersebut yang bimbang 1MDB tidak boleh membayar hutang
RM3.6 bilion.
No comments:
Post a Comment