PETALING JAYA: Beberapa
jam sebelum sambutan ulang tahun ke-69 Umno pada Isnin, ketua Umno
bahagian akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak sekali lagi bagi menjelaskan isu terkini membabitkan
wang rakyat.
Pertemuan yang dijadualkan berlaku pada tengah hari di Seri Perdana,
Putrajaya itu adalah yang kedua seumpamanya dalam tempoh dua bulan.
Pertama kali ia diadakan susulan isu kontroversi berkaitan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) dan kali ini, juga melibatkan syarikat
berkenaan tetapi mengheret satu lagi entiti yang dekat dihati rakyat -
Tabung Haji (TH).
Pada pukul 3 petang hari sama juga, akan berlangsungnya mesyuarat
Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijangka membincangkan prestasi Umno
pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, selain isu
semasa bekaitan 1MDB dan TH.
Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, semua pemimpin
bahagian menantikan tarikh dan masa yang ditetapkan itu kerana ia
penting untuk meredakan kekeliruan di peringkat akar umbi.
"Kita harap sangat, Presiden parti akan jelaskan sejujur-jujurnya dan
dengan telus semua persoalan yang timbul melibatkan Tabung Haji.
"Jika tidak, sukar untuk kami di peringkat bahagian nak jelaskan
kepada ahli akar umbi yang rata-rata kesal dan marah dengan perkembangan
terbaharu ini, semuanya kerana mereka tidak faham hal sebenar," katanya
ketika dihubungi mStar Online, Ahad.
Ismail berkata, walaupun dikatakan ia pertemuan biasa dengan pemimpin
tertinggi parti, pihaknya tetap menunggu penjelasan berkaitan isu 1MDB
dan TH kerana apa yang diperkatakan itu dapat membantu menangkis
tohmahan pembangkang.
"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kita perlu cari jalan terbaik
untuk selesaikan hal ini dan tanpa penjelasan telus mengenai apa yang
berlaku sukar untuk jentera parti menangkis hujah pihak yang cuba
menggoyahkan keutuhan Umno," katanya.
Sementara itu, bagi Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali
Alhabshee, suasana di peringkat akar umbi Umno disifatkan dalam keadaan
tidak baik susulan isu terkini yang diperkatakan ketika ini.
"Tidak baik, isu 1MDB dah teruk, sekarang lagi teruk apabila timbul pula hal pembabitan Tabung Haji," katanya.
Mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri pula, beliau mahu mengambil
sikap tunggu dan lihat, bagaimanapun masih tetap dengan pendirian untuk
memperjuangkan kelangsungan Umno.
"Saya akan tengok dulu suasana pada pertemuan itu sebelum bertanyakan hal semasa," katanya.
Selain dikritik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana
kontroversi 1MDB, pentadbiran negara juga diheret dengan pelbagai isu
yang menimbulkan keresahan rakyat termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) yang menjadi modal pembangkang pada dua PRK yang
diadakan baru-baru ini.
Pada Mac lalu, Najib bertemu 160 daripada 191 ketua Umno bahagian
serta sayap parti bagi memberi taklimat mengenai isu berkaitan 1MDB.
Perdana Menteri turut mengarahkan Ketua Audit Negara menjalankan
audit ke atas 1MDB dan setakat ini hasilnya belum didedahkan kepada
umum.
No comments:
Post a Comment