Analisis mStar
SESUATU yang pelik dalam
sesebuah pilihan raya apabila bacaan sikap mengenai pola sokongan
pengundi terhadap sesuatu parti politik masih belum dapat dibaca
walaupun tempoh berkempen berbaki kurang 24 jam.
Apa yang boleh digambarkan ialah situasinya bercampur-campur.
Sama ada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Parti
Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Suhaimi Sabudin yang menjadi taruhan
Barisan Nasional (BN), kedua-dua mereka dilihat menerima sambutan yang
baik di kalangan pengundi Permatang Pauh.
Namun pujian awal harus diberikan kepada Suhaimi kerana berjaya
memberi ‘persembahan’ yang baik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil
(PRK) Permatang Pauh.
Bagi Dr Wan Azizah pula, penerimaan masyarakat terhadapnya memang
tidak boleh dipertikai, lebih-lebih lagi beliau sememangnya tidak asing
di kalangan penduduk setempat.
Dengan gaya bersahaja bersama kipas ditangannya, wanita berusia 63
tahun itu juga ‘sporting’ melayan orang ramai, termasuk apabila diminta
menendang bola mahupun berbasikal.
AWAS PERMATANG PASIR
Culaan terkini di semua 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Permatang
Pauh menunjukkan Dr Wan Azizah atau lebih senang dipanggil Kak Wan masih
berada di kedudukan selesa.
Berdasarkan rekod terdahulu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), PKR menang di 22 PDM, sementara BN menguasai enam PDM.
Sehingga samalam, rata-rata laporan daripada PDM khususnya yang
berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dan
Penanti memberi maklum balas positif bagi memastikan Dr Wan Azizah
mempertahankan kerusi PKR di Permatang Pauh.
Bacaan di atas kertas juga menunjukkan PKR masih berjaya mengawal PDM
dalam DUN Permatang Pasir yang menjadi penyumbang tertinggi kemenangan
parti itu dalam PRU-13 yang lalu. BN tewas di semua sembilan PDM dalam
DUN Permatang Pasir pada PRU-13 yang lalu.
Bagaimanapun Dr Wan Azizah dan jenteranya tidak boleh menarik nafas
lega kerana laporan akhir menunjukkan wujudnya gelombang perubahan di
beberapa kawasan dalam DUN Permatang Pasir yang majoritinya adalah
pengundi PAS.
Tinjauan secara rawak mStar Online di beberapa kawasan dalam
kubu kuat PAS itu mendapati kebanyakan pengundi masih keliru dengan
sikap dan pendirian parti itu terhadap rakan sekutunya iaitu PKR dan
DAP.
Lebih mengejutkan, beberapa pengundi khususnya yang berumur sekitar
40 tahun ke atas menyatakan mereka masih tidak mempunyai garis panduan
jelas mengenai sama ada perlukah mereka memangkah calon yang tidak
menyokong hudud.
Pengundi dalam PDM Tanah Liat, Kubang Semang, Bukit Indera Muda,
Kampong Pelet dan Permatang Ara pada dasarnya masih belum membuat
keputusan yang jelas.
Keputusan di lima PDM berkenaan pada PRU-13 menunjukkan Pakatan
Rakyat menang dengan perbezaan bawah 600 undi. Kerisauan di lima PDM ini
juga perlu bersandarkan kepada peratusan keluar mengundi yang dijangka
merosot ekoran hari pengundian dibuat pada hari bekerja.
Jika hampir separuh daripada pengundi PAS dalam PDM terbabit tidak
keluar mengundi, harapan untuk calon ‘underdog' seperti Suhaimi untuk
menang di Permatang Pauh agak cerah.
HUDUD
Isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjadi senjata paling
berkesan yang dimainkan PKR dalam memastikan rakyat Permatang Pauh
menolak parti pemerintah.
Namun dalam masa yang sama mereka dilihat memandang rendah terhadap
isu dalaman pakatan pembangkang berhubung pelaksanaan hudud. Perlu
diakui hudud adalah isu yang boleh menggugat undi kepada Dr Wan Azizah.
BN sendiri dilihat bijak menggunakan hudud sebagai senjata rahsia.
Memilih untuk tidak bercakap mengenai hukum Islam itu secara terbuka,
jentera BN kelihatan galak memainkan isu berkenaan di peringkat PDM
khususnya di kubu kuat PAS.
Modus operandinya mudah, perang saraf mula tersebar di saat-saat
akhir dengan membangkitkan pendiran PKR yang tidak menyokong hudud
mentara DAP menolak hudud.
Nampaknya permainan BN dalam isu ini dilihat berjaya apabila
sebilangan besar pengundi PAS mungkin memilih jalan mudah demi
perjuangan mereka dengan tidak keluar mengundi.
Propaganda seperti ‘1 undi kepada PKR, 1 undi menolak hudud’ dilihat
agak berkesan dalam menanam sentimen kebencian terhadap parti sekutu PAS
itu.
Di kalangan pemimpin PKR mereka sendiri memilih untuk enggan mengulas
lanjut apabila dibangkitkan mengenai sama ada hudud bakal memberi kesan
dalam PRK kali ini.
Sikap ‘denial’ atau penafian segelintir pimpinan PKR seperti Pengarah
Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) PRK Permatang Pauh, Dr Afif
Bahardin juga pada dasarnya menambah kemarahan pengundi PAS.
Kenyataan bahawa hudud bukan isu besar dalam PRK Permatang Pauh
dianggap angkuh kerana beliau seolah-olah menafikan suara akar umbi
penyokong Pakatan Rakyat khususnya ahli PAS.
Berbeza dengan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, beliau
dilihat lebih realistik apabila mengakui bahawa hudud sememangnya bakal
memberi kesan kepada PKR.
Bercakap kepada mStar Online baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Katil
itu mengakui PKR berkemungkinan kehilangan kira-kira 6,000 undi
daripada pengundi PAS disebabkan isu hudud.
Ternyata angka itu wajar menimbulkan kebimbangan PKR sekiranya isu
yang menjadi ‘nadi’ penyokong dan ahli PAS itu tidak ditangani segera.
PAS DITINGGALKAN
Pada dasarnya, Dr Wan Azizah mungkin masih boleh kembali ke Parlimen
selepas menang di kerusi Permatang Pauh sebelum ini. Namun perjalanannya
ke sana hanya dipimpin PKR dan DAP sedangkan PAS ditinggalkan
dibelakang.
Sikap PKR dan DAP yang masih ‘bertegang urat leher, berkeras buku
lidah’ berhubung hudud meninggalkan kesan mendalam terhadap PAS.
PAS Permatang Pauh bukan sahaja ditinggalkan PKR dan DAP, malah
langkah mereka juga umpama tidak berpenghujung apabila tiada amanat
jelas daripada 'Tok Guru’ menjelang hari pengundian esok.
‘Kehilangan’ Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepanjang kempen PRK Permatang Pauh juga mengecewakan ahli parti itu.
Perasaan tidak tenang dan tertanya-tanya mengenai signal yang cuba disampaikan Hadi juga masih belum jelas.
Walaupun PAS Pusat mengeluarkan arahan supaya membantu PKR namun ia
tidak disertakan dengan tindakan apabila Hadi serta kumpulan ulama besar
PAS langsung tidak tunjuk muka sepanjang tempoh berkempen.
Namun dalam tempoh sebelum pukul 12 tengah malam Rabu, macam-macam perkara boleh terjadi.
Perang saraf saat-saat akhir mampu mempengaruhi pengundi khususnya di
kalangan orang PAS yang boleh dianggap sebagai penentu kemenangan sama
ada berpihak kepada Dr Wan Azizah ataupun Suhaimi.
No comments:
Post a Comment