Sunday, 10 May 2015

Pas harap hudud dibentang di Dewan Rakyat Mei ini

SINAR HARIAN







Ahmad Yakob Ahmad Yakob









KOTA BHARU - Pas berharap rang undang-undang persendirian berkaitan
hudud akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijangka
bermula 18 Mei ini.



Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob berkata bagaimanapun beliau
tidak mengetahui status terkini sama ada petisyen berhubung
pembentangan rang undang-undang berkenaan telah diserahkan oleh Presiden
Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diteliti oleh Parlimen.



"Itu terpulang kepada Presiden Pas. Mungkin 'private bill' itu sudah
dihantar. Bagi saya, kita mahu 'private bill' itu dikemukakan pada
(persidangan Dewan Rakyat) Mei atau Jun ini," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Sambutan Hari Amal Anak Muda Kelate 2015 di Lembah
Sireh di sini, hari ini.



Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang sebelum ini mengemukakan
notis bagi pembentangan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas
yang akan membolehkan beliau membentangkan rang undang-undang untuk
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka
laluan pelaksanaan Hudud di Kelantan.



Rang undang-undang persendirian itu telah dimasukkan sebagai perkara
terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas
namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat
ditangguhkan pada 9 April.



Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau Hudud pada 19 Mac
selepas disokong oleh 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk
12 Adun daripada Barisan Nasional (BN).



Mengulas mengenai hubungan antara Pas dan PKR dalam pakatan pembangkang
yang dilihat goyah sejak akhir-akhir ini akibat perbezaan pendapat
mengenai pelaksanaan Hudud di Kelantan, Menteri Besar Kelantan itu
berkata Pas masih bersama PKR dalam Pakatan.



"(Hubungan Pas dan PKR masih) biasa, (Pas) masih dalam pakatan... cuma
kita usaha lebih (untuk memperbaiki hubungan) selepas ini," katanya. -
Bernama



No comments:

Post a Comment