Setelah teka-teki demi teka-teki, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu
akhirnya mengumumkan kesediaannya mempertahankan jawatan disandangnya
itu.
“Saya bersedia untuk kekal berkhidmat sebagai timbalan presiden PAS jika
terus diberi kepercayaan oleh perwakilan dalam Muktamar Agung PAS ke-61
akan datang,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
Beliau pada mulanya mahu mengumumkan pendiriannya selepas perhimpunan
membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 Mei yang
dipimpinnya, sebelum ditunda selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh
semalam.
Dalam kenyataannya hari ini, Mohamad berkata mahu terus membantu parti
dan presiden, terutama dalam usaha melebarkan pengaruh PAS di kalangan
orang awam, bukan Islam, NGO dan pelajar.
Beliau juga berkata PAS perlu akur bahawa lebih 60 tahun di persada
politik, sokongan orang Islam kepada PAS masih bawah paras 50 peratus.
sebab itu usaha yang berterusan perlu dilipatgandakan, di samping itu
PAS amat perlu melebarkan pengaruhnya kepada bukan Islam dan rakyat
awam,” katanya.
Mengakui ia kerja mencabar, Mohamad mengingat anggota PAS supaya kekal yakin, sabar dan tekun untuk meraih hasilnya.
Bekas tahanan ISA itu bakal berdepan saingan sengit tiga lagi pemimpin
PAS iaitu dua Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk
Husam Musa serta Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik
Abdullah.
Tambahan lagi, walaupun tidak jelas jumlah pencalonan sebenar setakat
ini, Tuan Ibrahim dipercayai jauh mendahului di depan – bukan petanda
baik untuk Mohamad sebagai penyandang.
Nasib Mohamad bakal ditentukan lebih 1,000 perwakilan yang bakal bermukim bermula 1 hingga 6 Jun depan di Kuala Selangor.
No comments:
Post a Comment