Masa transaksi Tabung Haji membeli tanah daripada 1Malaysia Development
Bhd (1MDB) telah menimbulkan rasa curiga yang wang itu digunakan untuk
membiayai bayaran faedah pinjamannya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Naib Presiden PKR yang juga
Setiausaha Agung Rafizi Ramli berkata jumlah RM188.5 juta yang dibayar
oleh Tabung Haji itu nampaknya lebih kurang serupa dengan nilai
pembayaran faedah pinjaman yang perlu dilunaskan oleh 1MDB bagi
hutangnya.
Ia, katanya juga, sama dengan laporan The Edge yang 1MDB perlu membayar faedah pinjaman AS$52.5 juta minggu depan.
"Apakah penggunaan duit pendeposit Tabung Haji ini adalah bertujuan untuk membantu 1MDB membayar faedah pinjamannya?
"Keadaan ini hampir sama dengan tindakan kerajaan persekutuan menyuntik
RM950 juta ke dalam 1MDB pada pertengahan Mac lalu iaitu pada tarikh
yang hampir sama dengan tarikh bayar faedah hutang 1MDB," tambah Rafizi.
Semalam, timbalan pengarah urusan yang juga CEO kumpulan Tabung, Johan
Abdullah berkata, pembelian tanah milik 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX)
adalah pada kadar "diskaun".
Menurutnya, penilaian pasaran tanah itu dibuat oleh penilai profesional
bebas dan pembeliannya adalah mengikut strategi pelaburan hartanah
Tabung Haji.
Johan mengulas pembocoran dokumen itu di dalam talian, yang dikatakan
menggariskan rancangan untuk Tabung Haji membeli dua bidang tanah
daripada 1MDB yang dibebani hutang.
Tanah itu - yang terletak di lokasi paling utama di Kuala Lumpur - pada
asalnya dijual oleh Putrajaya kepada cara 1MDB di bawah nilai pasaran.
Laporan mengenai angka itu berbeza daripada RM74.20 sekaki persegi
hingga RM90 sekaki persegi.
Berdasarkan kepada dokumen yang bocor itu, ada kemungkinan 1MDB menjual
tanah itu pada harga RM2,779 sekaki persegi kepada Tabung Haji, dan
dengan itu membuat keuntungan yang besar.
Lembaga Tabung Haji menafikan membeli Signature Tower (Fasa 2) di pusat kewangan TRX seperti yang dilaporkan.
Bagaimanapun, lapor Bernama, Tabung Haji ada membuat pelaburan hartanah bagi pembangunan menara kediaman (hartanah) di TRX.
Rafizi berkata, beliau yakin bahawa perjanjian jual beli tanah itu belum
dimuktamadkan antara Tabung Haji dan 1MDB dan oleh itu, masih ada
peluang untuk menghentikan jual beli tersebut.
Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Menteri
Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor masih boleh
menghentikan proses pindah milik tanah tersebut.
"Kesemua ini boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang dan ia adalah
dalam bidang kuasa Tengku Adnan (yang bertanggungjawab dengan urusan
Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Najib Abdul
Razak (pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB).
Rafizi menambah, beliau akan memanggil satu perjumpaan dengan pendeposit
Tabung Haji pada hari Rabu depan untuk melancarkan kempen mendesak
supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya menghentikan penggunaan
dana Tabung Haji.
No comments:
Post a Comment