MACHANG - " Kalau dia bermoral, menghormati parti lain dan ada prinsip
bekerjasama dalam perjuangan parti, (Lim) Kit Siang perlu minta maaf.
Dia bercakap tidak kena tempat dan menyentuh dasar perjuangan Pas di
rumah Pas sendiri (Kelantan)," kata Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk
Nik Zawawi Nik Salleh ketika mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit
Siang yang menolak pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II (Hudud ) di
sini kelmarin.
Kit Siang mengeluarkan kenyataan tersebut pada ceramah anjuran Pas
Kota Bharu, baru-baru ini kerana dikatakan tidak sesuai untuk sebuah
negara majmuk.
Nik Zawawi berkata, sekalipun kenyataan tersebut dipercayai pendapat
peribadi penasihat DAP itu namun ia menyentuh dasar perjuangan Pas
sekaligus menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin dan
penyokong parti Islam itu.
Katanya, kenyataan tersebut tidak wajar apatah lagi ketika Pas sedang
memperjuangkan Hudud dan Kelantan akan kemukakan Kanun Jenayah Syariah
II 1993 (Pindaan) 2015 itu di Parlimen.
"Dia sepatutnya hormati kerajaan negeri kerana jemputan tersebut
pastinya satu penghormatan dari penganjur. Lain kali dia kena lebih
berhati-hati. Tak sepatutnya dia sentuh tentang dasar yang hendak
dilaksanakan di Kelantan.
"Ini adalah satu pengajaran kepada Kit Siang dan juga penganjur agar
lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan pada masa akan datang. Dalam
bertahaluf siyasi ini, kita perlu menghormati parti masing-masing,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas
Negeri Kelantan di Markas Dewan Ulama, Labok hari ini.
Hadir sama pada muktamar tersebut, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Hassan Mohamood.
Tambah Zawawi, pelaksanaan Hudud di Kelantan sangat jelas yang mana
tidak dilaksanakan kepada orang bukan Islam jadi mereka perlu mendalami
serta memahaminya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur
negatif.
Katanya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan jemputan dan perbincangan
mengenai pelaksanaan Hudud bagi meningkatkan kefahaman masyarakat bukan
Islam secara menyeluruh.
"Semua rakyat Malaysia perlu akur dan terima hakikat bahawa sistem
undang-undang sedia ada di negara ini gagal apabila gejala negatif
termasuk rasuah , penyelewengan dan jenayah masih banyak berlaku dan
tidak selesai.
" Apa salahnya kita cuba cara alternatif . Undang-undang ini telah
terbukti berkesan dan mengapa kita perlu menolaknya," katanya.
No comments:
Post a Comment