Wednesday, 6 May 2015

GST kad prabayar: Jangan sampai Kerajaan tanggung kos selaras semula harga

tony pua 2



Roketkini.com





KUALA LUMPUR: DAP mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan
terhadap syarikat telekomunikasi yang cuba menaikkan harga kepada
pengguna kad prabayar telefon mudah alih.




Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, tindakan
memangsakan pengguna itu jelas melanggar undang-undang Anti-Pencatutan
serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.




“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah membidas
kenaikan harga itu dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap
peniaga yang memanipulasi GST demi keuntungan sendiri.




“Apabila syarikat-syarikat telekomunikasi ini menaikan harga 6
peratus secara serentak pada masa yang sama, ia jelas mencerminkan
amalan anti-persaingan dan pakatan sulit,” katanya dalam satu kenyataan.




Berdasarkan Bahagian IV (Peraturan Ekonomi), Bab 2 (Amalan Persaingan
Am) Fasal 133 Akta Komunikasi dan Multimedia, pengendali telekomunikasi
dilarang ‘membuat apa-apa tingkah laku yang mempunyai maksud
mengurangkan persaingan dengan cukup besar dalam suatu pasaran
komunikasi.’




Peraturan Ekonomi itu juga menyebut bahawa pemegang lesen
telekomunikasi tidak boleh membuat apa-apa persefahaman, perjanjian atau
perkiraan, sama ada boleh dikuatkuasakan secara sah atau tidak, yang
memperuntukkan penetapan kadar dan perkongsian pasaran.




Tegas Tony, syarikat telekomunikasi tempatan juga telah menikmati
feadah yang cukup besar apabila mereka dibenarkan untuk meningkatkan
margin keuntungan mereka sebanyak 6 peratus April lalu berikutan
pelaksanaan GST.




“Berdasarkan hasil tahun lalu, mereka telah telah pun mengumpul
margin keuntungan tambahan sebanyak RM64 juta dan ia mencukupi untuk
membayar penyelarasan semula sistem komputer,” tegasnya.




Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek
dalam temu bual dengan RTM berkata beliau akan berusaha memastikan
rakyat dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon
dengan formula ‘beli RM10, dapat RM10’.




Beliau berkata, pendiriannya itu akan diketengahkan dalam pertemuan
dengan peneraju syarikat telekomunikasi tempatan sebelum dibawa ke
Kabinet untuk keputusan seterusnya.




Tony menyatakan beliau menyambut baik cadangan itu tapi menegaskan
kos penyelarasan semula harga perlu ditanggung syarikat telekomunikasi
dan bukan kerajaan atau pengguna.




Setiausaha Publisiti DAP itu berkata di samping peniaga kecil,
Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga perlu memastikan syarikat
gergasi turut mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998.




“Shabery perlu henti bersikap berat sebelah dengan mengambil tindakan
terhadap peniaga kecil yang didakwa menipu sebaliknya membiarkan jerung
besar bebas,” katanya.




Menurut Tony, syarikat telekomunikasi utama seperti Maxis
Communications, Digi

Telecommunications dan Celcom Axiata mencatat
keuntungan bersama hasil jualan kad prabayar sebanyak RM12.8 bilion.




Katanya, kadar GST 6% menggantikan kadar sama cukai jualan dan
perkhidmatan (SST) tidak akan memberi kesan terhadap keuntungan mereka.




“Jadi, tidak ada sebab kerajaan menawarkan pengecualian kepada telco
daripada memenuhi tanggungjawab cukai pada masa sama mengekalkan harga
semasa,” jelas beliau. -Roketkini.com






No comments:

Post a Comment