Oleh ANIS NAZRI
Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan telah pun di Malaysia. Cukai yang diperkenalkan
kerajaan bermula 1 April itu menimbulkan pelbagai pendebatan hebat,
sama ada di Dewan Rakyat, kedai kopi, pejabat, di merata ceruk rantau
di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Malah, perdebatan
mengenai cukai kontroversi itu juga membabitkan anak muda, yang kononnya
dahulu tidak menghiraukan soal dana dan kewangan negara. Namun, kadar
enam peratus GST yang dikenakan kerajaan kepada rakyat tanpa memilih
bulu, akhirnya turut menjentik rasa sebilangan anak muda yang mungkin
terasa apabila kad tambah nilai telefon pintar turut dikenakan GST.
Biarpun
sudah genap seminggu dilaksanakan (ketika rencana ini ditulis), isu GST
masih mengasak minda rakyat yang cukup merasai impak yang dilalui
mereka apabila keluar membeli barangan keperluan seharian. Malah, jika
ingin minum teh tarik di kedai mamak sekalipun, mereka pasti merasai
kesan dari GST yang dikatakan kerajaan tidak membebankan rakyat.
Mungkin pemimpin negara, menteri-menteri, usahawanusahawan berasakan
setelah seminggu GST diperkenalkan, tiada lagi laporan yang mengatakan
ada di kalangan rakyat yang dijumpai mati kelaparan. Mungkin juga ada
yang beranggapan reaksi amarah rakyat hanya sekadar tahi-tahi ayam, yang
akhirnya akan sejuk sendiri.
Namun, hakikatnya masih ramai yang
merintih dengan impak yang dihadiahkan kerajaan melalui GST. Tetapi,
mereka bagaikan sudah tidak mampu meluahkan kata-kata kerana sedar tiada
siapa yang sudi mendengar keluh-kesah biarpun pelbagai cara mereka
menyampaikan rasa tidak puas hati mereka.
Memahami situasi yang
melanda rakyat ketika ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustazah Nuridah
Salleh, melahirkan keyakinannya bahawa golongan yang begitu merasai
kesan pelaksanaan GST sudah tentulah wanita memandangkan golongan ini
merupakan 63 peratus pembuat keputusan utama dalam perbelanjaan
keperluan rumah, sekaligus mereka juga yang dilihat mendominasi kuasa
beli pengguna.
“Ironinya, selepas dua minggu pengguna dipaksa
membayar cukai itu, kerajaan dilihat masih lagi tertumpu kepada memberi
kefahaman rakyat berkaitan GST ini walaupun persediaan ke arahnya telah
berlaku 17 bulan lebih awal sebelum ini, termasuk sesi dialog Soal Jawab
di kaca televisyen TV3 lewat malam, 8 April lalu,” kata Nuridah dalam
satu kenyataannya 9 April lalu.
Tindakan kerajaan itu, bagi
Nuridah ternyata tidak sensitif dengan himpitan yang terpaksa diterima
rakyat, sedangkan mood rakyat ketika ini berdepan dengan pelbagai
kenaikan harga belian biarpun sebelum GST diperkenalkan.
Lebih
mengharukan, ada ketikanya rakyat terpaksa membayar cukai itu dalam
keadaan masih banyak syarikat dan peniaga sendiri yang masih tidak
memahami kaedah pengiraan GST.
“Saya memahami kita masih baru
dengan kaedah pengiraan GST ini. Cuma, keadaan ini telah menyulitkan
rakyat, khususnya wanita bagi merancang dan menyediakan perbelanjaan
keperluan rumah, tambahan pula terdapat segelintir syarikat dan peniaga
yang mengambil kesempatan menaikkan harga dalam keadaan kerajaan hilang
kawalan terhadap kes-kes seperti ini,” kata beliau.
Kecelaruan
yang timbul ekoran pelaksanaan GST boleh dilihat pada hari-hari awal
cukai ini dilaksanakan apabila pelbagai aduan yang terpaksa ditadah
kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam daripada rakyat.
Malah,
kewajaran syarikat telco mengenakan caj enam peratus ke atas kad tambah
nilai turut dipertikai sehingga kerajaan terpaksa mengadakan
perbincangan dengan syarikat telco berkenaan bagi mencari jalan keluar
mengatasi aduan yang dilakukan rakyat.
Itu sekadar kad pra bayar,
sedangkan masih begitu banyak barangan dan perkhidmatan yang dirasakan
rakyat tidak wajar dikenakan, yang mungkin memberikan kerajaan lebih
banyak masa untuk mengatasi isu-isu berkaitan cukai yang dilaksanakan
secara tergesa-gesa ini.
Oleh itu, tegas Nuridah, kerajaan
diingatkan agar berwaspada dengan ancaman Allah SWT seperti yang
termaktub dalam surah Asy- Syura, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua
yang menimpa kamu dari sesuatu (kesusahan atau bala bencana), maka ia
disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatanperbuatan yang salah dan
berdosa) dan dalam pada itu Allah SWT memaafkan sebahagian besar dari
dosa-dosa kamu.”
“Adakah belum cukup peringatan Allah SWT melalui
musibah dan tragedi sedih melanda negara kita untuk kita semua kembali
kepada urus tadbir cara hidup Islam yang turut memberi kesejahteraan
kepada masyarakat bukan Muslim di negara kita ini?” soal beliau lagi.
Dalam pada itu, Nuridah berkata sesungguhnya pemberian BR1M yang
diberikan kepada rakyat akhirnya terpaksa dipulangkan kepada kerajaan
semula.
“Maka benarlah dari BR1M ia datang, kepada GST ia dikembalikan,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment