Oleh Shahbudin Husin
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap tentang pendemokrasian maklumat
dan meminta rakyat menilai kesahihan sesuatu berita serta mengingatkan
bahaya persepsi berbanding realiti, tentulah beliau sedang merujuk
kepada beberapa isu yang hangat berlaku dalam negara sekarang.
Dalam nasihatnya, Datuk Seri Najib berkata, Malaysia kini sedang
melalui proses pendemokrasian maklumat yang membolehkan ia disalurkan
secara bebas dan dua hala.
Dalam keadaan itu,
katanya, banyak maklumat yang digembar-gamburkan dan diputarbelit
sehingga disalaherti tanpa disedari dan membuatkan ramai yang
terpengaruh dengannya.
Kesannya, tambah beliau, kita sedang berada di era persepsi berbanding realiti.
Sudah tentu Perdana Menteri melontarkan ingatan ini berikutan serangan
dan kritikan yang semakin membuak-buak diterimanya kebelakangan ini
berkaitan isu-isu melibatkan 1MDB, Altantuya, Sirul, karenah isterinya
serta pelbagai lagi yang bukan saja menjadi percakapan ramai tetapi juga
menjadi intipati kecaman Tun Mahathir Mohamad terhadapnya.
Tidak dinafikan, khususnya sejak Tun Mahathir semakin agresif
mengkritiknya sehingga mendesaknya berundur kerana hilang keyakinan BN
akan menang dalam pilihanraya akan datang selagi beliau memimpin negara
ini, Datuk Seri Najib hakikatnya semakin menerima sokongan yang berbelah
bagi kerana lebih dibayangi oleh persepsi tidak baik mengenai
kepimpinannya.
Sementara kelompok berkepentingan dalam UMNO
muncul satu demi satu menyatakan sokongan dan rakyat pula semakin
didedahkan pelbagai maklumat baru manakala persoalan-persoalan yang
berbangkit itu pula gagal diberi penjelasan, semua ini sudah tentu
meruncingkan lagi peratusan sokongan yang diterima.
Tetapi, adakah semua maklumat itu sekadar persepsi dan bukannya realiti?
Adakah jumlah hutang 1MDB dan caca-marba berkaitan pelaburan, urusniaga
dan simpanan di Pulau Cayman milik syarikat anak emas Perdana Menteri
yang dipertikaikan itu bukan realiti?
Berkenaan Sirul dan
Altantuya, adakah semua persoalan yang berbangkit semula ketika ini
hanya persepsi saja? Apabila Tun Mahathir menanyakan siapa yang memberi
arahan kepada Sirul dan Datuk Seri Najib pula sekadar menjawab, isu itu
seharusnya tidak timbul lagi kerana beliau sudah pun bersumpah tidak
pernah berjumpa atau mengenali Altantuya, adakah ia boleh dianggap
realiti melebihi persepsi?
Begitu juga dalam banyak isu lain
yang menjadi bualan ramai seperti pembelian jet, pembaziran dan
perbelanjaan oleh isterinya, apakah semuanya persepsi semata-mata?
Sesungguhnya banyak persoalan apabila Perdana Menteri mengatakan "kita
kini berada di era persepsi berbanding realiti" dan rakyat harus
berhati-hati dengannya.
Memang benar dalam keadaan-keadaan
tertentu persepsi boleh dibentuk seolah-olah suatu realiti tetapi dalam
konteks Malaysia berdasarkan apa yang berlaku dan isu-isu yang
diperbualkan, ia adalah realiti melebihi persepsi.
Lebih buruk
ia juga sebenarnya adalah realiti yang gagal ditangani dan dijawab
dengan baik dan jujur oleh pihak kerajaan sehingga akhirnya merebak
menjadi perbualan ramai.
Misalnya dalam isu hutang 1MDB yang
bertimbun-timbun sehingga ramai pengkritik menyatakan ia akan memberi
kesan kepada negara, pada mulanya ia cuba dinafikan dengan tanggapan
asetnya adalah melebihi hutang tetapi apabila kemudiannya kerajaan
melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar sendiri
mengakui hutang itu membebankan dan akan menghentikan semua pinjaman
baru, ia bermakna sesuatu yang pada mulanya cuba dianggap sekadar
persepsi adalah benar-benar realiti.
Dalam hal ini, di ketika
kerajaan tidak berkeupayaan menjawab sesuatu isu yang dipersoalkan
rakyat, ia tidak seharusnya dengan mudah mengatakan, "Ohh..semuanya
terkawal dan segala tanggapan negatif hanyalah persepsi".
Meletakkan sesuatu realiti yang tidak mampu dijawab sebagai beban
persepsi tidak akan menjadikan sesuatu pihak dinilai lebih baik oleh
rakyat. Dalam era pendemokrasian maklumat sekarang ini, bukan persepsi
melebihi realiti yang sepatutnya dibimbangi, tetapi kegagalan memberi
penjelasan mesti lebih ditakuti sama ada ianya persepsi mahu pun
realiti.
Seiring dengan maklumat yang boleh disalurkan secara
lebih bebas dan dua hala, yang lebih pantas dilakukan seharusnya ialah
memberi jawapan dan penjelasan yang meyakinkan.
Sebesar mana pun
persepsi yang berjaya dikumandangkan, ia tidak mungkin menang dengan
kebenaran. Realiti pula, segagah mana sekali pun cuba dinafi, tetap
akan menang akhirnya.
No comments:
Post a Comment