Sunday, 17 May 2015

Tun M lancar jilid 2 buku surat beliau esok



SINAR HARIAN





Dr Mahathir Dr Mahathir









KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan
melancarkan Jilid 2 buku yang mengandungi surat terpilih beliau kepada
para pemimpin dunia ketika menyandang jawatan itu selama 22 tahun di
pejabatnya di Yayasan Perdana di Putrajaya, esok.





Buku bertajuk "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" ini
merupakan susulan kepada Jilid 1 terbitan tahun 2008, yang mendapat
sambutan hangat daripada pembaca hingga diulang cetak sembilan kali,
kata editor buku berkenaan, Tan Sri Abdullah Ahmad.





Abdullah memberitahu Bernama hari ini bahawa buku itu, yang memuatkan
73 surat Dr Mahathir yang belum pernah disiarkan, dua surat lebih banyak
daripada Jilid 1, mendasari urusan diplomasi Malaysia dan antarabangsa
sepanjang tempoh 1987-2003, terutama antara Malaysia dan Singapura.





Ini termasuk surat menyurat antara Dr Mahathir dan tiga Presiden
Amerika iaitu George H. Bush, Bill Clinton dan George W. Bush; tiga
Perdana Menteri Britain (Margaret Thatcher, John Major dan Tony Blair);
Jen Pervez Musharraf dan Benazir Bhutto (Pakistan); Presiden Iraq Saddam
Hussein; pemimpin Libya Muammar Ghaddafi; Fidel Castro dari Cuba; dan
Nelson Mandela dari Afrika Selatan.





Bagaimanapun Abdullah menyifatkan surat antara Dr Mahathir dan rakan
sejawatan beliau dari Singapura, Lee Kuan Yew dan Goh Chong Tok, sebagai
surat "paling mengejutkan dan paling banyak memberikan kefahaman"
berikutan sejarah panjang antipati yang wujud antara kedua-dua
negara.



Dalam prolog untuk buku itu, Dr Mahathir menulis bahawa sebagai perdana
menteri, beliau cuba meluaskan medan antarabangsa dan diplomasi
Malaysia.





"Kedaulatan dan kemerdekaan kita perlu sentiasa dipelihara agar rakyat
Malaysia memiliki lebih daripada sebuah tempat yang selesa untuk didiami
dalam tatatingkat dunia.





"Dalam proses meneroka masa depan yang lebih cerah, kita tidak boleh
memperkecilkan kepentingan kita kepada mana-mana kuasa, tidak kira kecil
atau besar, dan jangan juga sekali-kali menjadi pak turut kepada
mereka," kata beliau. - Bernama


No comments:

Post a Comment