Ahmad Fadhli Shaari,
Ketua Pemuda Pas Kelantan.
Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang,
THE Right to Differ sebagaimana yang tuan maklum ialah
buku karangan Dr Ooi Kee Beng yang diterbitkan pada tahun 2011. Buku
ini mengandungi biografi tuan bermula dari penglibatan awal di dalam
politik sehinggalah ke hari ini.
Membaca buku ini memang mengasyikkan kerana ia menceritakan detik-detik
bangunnya tuan di dalam politik negara setelah berlakunya perdebatan di
antara tuan dengan Syed Naquib Al-Attas yang mewakili Gerakan dalam
satu majlis yang dinamakan Debat Kebudayaan DAP-Gerakan 1968.
Saya tidak ingin mengulas berhubung debat itu, cuma barangkali ingin
menyatakan satu fakta yang diakui sendiri oleh tuan di dalam buku
tersebut, bahawa kontroversi yang tercetus berikutan perdebatan itu
menaikkan nama tuan di dalam arena politik.
Saya masih belum lahir pada masa itu. Bagaimanapun, saya berani
menyatakan bahawa bukan semua kontoversi itu baik untuk pihak yang
mencetusnya.
Ada sesetengah kontoversi jika sengaja dicetuskan untuk menimbulkan
salah faham, akan akhirnya menunjukkan jalan mati kepada tuan punya.
Saya bimbang kontroversi yang tercetus dari ucapan tuan di Kota Bharu
ialah kontoversi yang boleh mematikan terus muafakat yang terjalin.
Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang,
Saya akui perjalanan politik tuan yang melalui hukuman ISA pada tahun
1969 selama 18 bulan dan pada tahun 1987 selama 17 bulan adalah satu
rekod yang cukup mengkagumkan.
Namun, ia bukannya lesen untuk tuan mengherdik agenda kami di dalam
negeri kami. Saya mendengar rakaman ucapan tuan di Kota Bharu itu serta
membaca semula tulisan yang dimuatkan oleh tuan sendiri di dalam blog
milik tuan.
Berkali-kali saya ulangi menonton dan mendengar ucapan tuan, nyata
sekali tuan sama ada tidak faham berhubung hudud atau tuan tidak faham
berhubung adab.
Saya lebih cenderung kepada kemungkinan kedua. Mana mungkin seorang
ahli politik yang cukup matang dan berpengalaman seperti tuan tersalah
mulut terlajak kata sedemikian rupa kecuali memang itu hasrat tuan.
Jika orang muda terlucut kata sedemikian rupa, ia dipanggil
keterlanjuran, namun jika orang lama juga terlucut kata, ia dipangggil
kurang ajar.
Barangkali tuan tidak faham bahawa proses untuk membawa Rang
Undang-undang Persendirian ke parlimen sudah sampai ke peringkat akhir.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah atau tuan sebut sebagai hudud itu adalah
satu cita-cita kami di Kelantan. Ia langsung tidak menyentuh seurat pun
bulu roma non muslim, tidak sedikitpun mencemari hak dan tidak
sejengkalpun mengurangi kepentingan mereka.
Rakyat Kelantan yang 95 peratus Muslim menunggu-nunggu ia dilaksanakan.
Benar, masih banyak lagi agenda kebajikan belum tertunai, namun ia
bukanlah bererti segalanya diketepikan hanya semata-mata untuk
melaksanakan hukum Islam.
Ya, mungkin benar tuan ingin berbeza dengan kami dalam isu ini. Namun,
di hadapan khalayak sedemikian bukan tempatnya untuk tuan berkata
demikian.
Ketepikan dahulu perbezaan kerana masih banyak lagi kecacatan Umno/Barisan Nasional yang boleh diperkatakan.
Jika pemimpin muda PKR boleh melaungkan takbir bukannya menyebut
Reformasi (yang tidak salahpun untuk menyebutnya) di dalam ucapan di
hadapan rakyat Kelantan, kenapa tuan tidak boleh sedikitpun
menyembunyikan perbezaan walhal masih banyak isu yang boleh disentuh?
Hudud ini agenda kami. Cita-cita dan harapan kami. Kerjasama dengan kerajaan Pusat ialah kerjasama kerajaan dengan kerajaan.
Jika undi bukan Melayu untuk Pakatan Rakyat yang sampai ke tahap
maksimum pun belum memungkingkan kita menawan Putrajaya, kenapa tidak
boleh tuan izinkan kami mencelah mengaut nasib di tengah masyarakat
Melayu pula.
Jangan tuan merasakan hanya kami yang rugi jika bahtera ini pecah, jika
kami rugi secupak, tuan mungkin rugi seguni. Sekurang-kurangnya kami
berjaya mengurangkan majoriti Barisan Nasional di Rompin sedangkan tuan
gagal mempertahankan Teluk Intan.
Sekurang-kurangnya undi kami di PRK Dun Chempaka hanya merosot 11.4%
dalam situasi Barisan Nasional tidak turun bertanding sedangkan undi
tuan di PRK Bukit Gelugor merosot sebanyak 26.14% juga dalam situasi
Barisan Nasional tidak turun bertanding!
Tahukah tuan, betapa tergurisnya hati dan perasaan kami atas lontaran
kata-kata tuan di halaman kami sendiri. Umpama hadir bertamu, mengutuk
lantai tidak serata, mengata dinding tidak berwarna.
Rumah ini ada tuannya, jika pun tuan hadir dengan jemputan anak yang
derhaka, belum tentu anak yang lain boleh membiarkan rumahnya dihina
sesuka hati.
Apatah lagi jika anak yang baik budiman menjemput tuan hadir, tentu sahaja dihantar pulang dengan hati terluka.
Jangan tuan mengukur Mesir dan Jordan sebagai kayu ukuran. Adapun Mesir
dan Jordan itu, yang memerintahnya sekarang ialah ‘Umno’.
Dan seperkara lagi, sekalipun Mesir itu bumi para nabi, bimbang saya
teramat sangat jika tuan ke sana bertemu waris cucu Firaun. Daripada
yang belum faham tentang Islam, semakin jauh tuan dibawa ke bukit
kejahilan.
Saya bimbang, jika tuan jadikan Mesir dan Jordan sebagai hujah untuk
tidak laksanakan syariah Islam, nanti ada yang merujuk pula Negara
Brunei yang lebih dekat dari sudut geografi dalam isu kerakyatan. Dan
tuan tentu maklum bahawa Brunei sangat sukar memberikan tahap kerakyatan
kepada kaum Cina (dengan maaf).
Dalam hal hudud ini, saya pohon kepada tuan, jangan galak sangat
menambah luka. Kami anak muda punya perasaan, pada saat kami boleh
bersabar, hargailah kesabaran kami ini.
Jika kami bertamu ke tempat tuan, kami sekurang-kurangnya tahu di
penjuru mana kami bersila, tidak meludah di tengah laman, tidak menepis
huluran salam.
Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang,
Terimalah hakikat, kita berbeza dalam isu ini dan kita punya hak untuk
berbeza. Biarkan sahaja 5 peratus perbezaan ini, dan gerakkan 95 peratus
lagi yang kita sepakati bersama. Seperti tajuk buku biografi tuan yang
ditulis oleh Dr Ooi Kee Beng, The Right To Differ.
No comments:
Post a Comment