Di sebalik kekuatan yang memihak kepada BN, PRK kali ini diadakan ketika parti komponen utamanya UMNO sedang berkocak.
PETALING JAYA: Jika dianalisis di
atas kertas, Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan yang amat cerah
untu mengekalkan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK)Rompin.
Banyak faktor yang dikatakan menyumbang ke arah kemenangan itu.
Majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu dengan
kelebihan 15,114 undi yang dimenangi Allahyarham Jamaluddin Jarjis,
pengaruh calon BN, Hasan Ariffin yang dianggap orang lama dan sebelum
ini pernah menjadi Adun, Exco dan Timbala Menteri Besar Pahang, menjadi
laluan sukar kepada calon Pas, Nazri Ahmad untuk menang.
Di sebalik kekuatan yang memihak kepada BN, PRK kali ini diadakan
ketika parti komponen utamanya UMNO sedang berkocak berikutan serangan
dan kritikan bertali arus daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir
Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pelbagai isu yang sudah sekian lama melingkari kepimpinan presiden
parti serta penolakan yang kian ketara di mana-mana, Tun Mahathir dengan
tegas mahukan Perdana Menteri ditukar untuk menyelamatkan UMNO dan BN
dalam pilihanraya akan datang.
“Ditambah dengan isu GST yang semakin hari semakin membengkak dalam
hati rakyat, penolakan terhadap BN semakin jelas jadinya. Isunya bukan
sangat kerana rakyat menolak sistem cukai baru itu, tetapi lebih
disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu-isu remeh di sebalik
perlaksanaannya”, tulis Shahbudin Husin.
Melalui laman blognya, shahbudindotcom.blogspot.com bekas Ketua
Bahagian UMNO Setiawangsa mengupas ketidak puasan yang membelenggu
rakyat di negara ini.
Katanya, momokan kerajaan terhadap kebaikan Pelaksanaan Cukai Barang
dan Perkhidmatan (GST) di mana harga barang akan turun adalah palsu
belaka.
“Lebih dari itu, yang paling menyenakkan perut rakyat ialah kegagalan
kerajaan sehingga kini menyelesaikan isu 30 sen dan 60 sen cukai GST
pada kad prabayar telefon yang menjadi kegunaan utama golongan muda,
suri rumah dan mereka yang berpendapatan rendah. Ia memperlihatkan
kerajaan amat lemah dan tiada lagi kekuatan”, katanya.
Justeru, PRK Rompin pada 5 Mei dilihat mempunyai nilai yang
tersendiri . Apakah suhu politik nasional yang tidak menentu dan rasa
ketidak puasan terhadap dasar baru mempengaruhi pengundi di kawasan itu?
Sama-sama kita tunggu.
No comments:
Post a Comment