Tuan Ibrahim Tuan Man
Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS bakal dicabar apabila Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan untuk turut sama merebut jawatan
nombor dua parti itu.
Menurut Tuan Ibrahim, keputusan untuk bertanding bagi jawatan
berkenaan dibuat bagi menghargai pencalonan dan kepercayaan yang
diberikan PAS Kawasan terhadapnya.
"Setelah meneliti jumlah pencalonan yang diterima dan demi merai PAS
kawasan yang mencalonkan saya, maka saya akur dan dengan rendah diri
menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar
PAS ke-61.
"Atas dokongan kalian, saya bersedia menggalas amanah yang berat ini
bersama-sama kalian sekiranya diberi peluang oleh perwakilan di Muktamar
untuk membawa PAS ke persada yang lebih tinggi," katanya menerusi
kenyataan pada Jumaat.
Pada pemilihan PAS kali ini, Tuan Ibrahim dianggap calon popular
apabila dilaporkan menerima 94 pencalonan berbanding Mohamad atau Mat
Sabu yang hanya mendapat 12 pencalonan.
Dua lagi calon yang layak merebut jawatan timbalan presiden ialah
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Naib
Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
Tuan Ibrahim dan Mohamad sebelum ini pernah berhadapan saingan tiga
penjuru bagi merebut jawatan yang sama dalam Muktamar PAS ke-57 pada
2011 bersama bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.
Selain itu Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS mengingatkan
semua pihak yang terlibat dalam pemilihan kali ini supaya menjaga adab
dan tidak bertindak keterlaluan.
"Kepada yang akan bertanding di Muktamar ke-61, saya mengharapkan agar kita semua memelihara akhlak jamaah.
"Pelihara ukhuwah kita, jangan melampau dalam keghairahan untuk memenangi apa jua jawatan," katanya.
Pemilihan PAS tahun ini bakal menyaksikan hampir semua jawatan termasuk kedudukan Presiden PAS akan dipertandingkan.
Pada Khamis, bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang mengesahkan bahawa
beliau akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Presiden
PAS.
Muktamar PAS Pusat akan berlangsung di Kuala Selangor pada 4 hingga 6 Jun depan.
No comments:
Post a Comment