Pembinaan terusan Segenting Kra yang
memendekkan laluan dari Selat Melaka dengan Laut China Selatan akan
memberi kesan kepada pelabuhan di negara ini.
PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia akan terancam sekiranya cadangan pembinaan terusa di Segenting Kra, Thailand menjadi kenyataan.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin At-Takiri
berkata, cadangan pembinaan terusan di Segenting Kra sepanjang 102
kilometer itu bakal menyebabkan Pelabuhan Klang dipinggirkan.
“Jika terusan Segenting Kra benar-benar dibina, ia bakal
menghubungkan secara terus negara-negara seperti Jepun dan China dengan
negara-negara Timur Tengah dan Afrika tanpa lagi melalui Selat Melaka,
justeru bakal memberi kesan yang ketara kepada Pelabuhan Kelang dan
ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media.
Pada 16 Mei lalu, portal China Daily Mail melaporkan satu memorandum
kerjasama telah ditandatangani bersama oleh pelbagai pengusaha
perniagaan di Guangzhou, China untuk membina sebuah terusan sepanjang
102 kilometer dengan kelebaran 400 meter dan kedalaman 25 meter di
Segenting Kra, Thailand.
Sebelum itu, portal yang sama pada 16 Mac 2014 telah menjelaskan
kewajaran China yang memerlukan laluan alternatif dengan pembinaan
terusan di Segenting Kra kerana laluan perdagangan ke Lautan Hindi
melalui Selat Melaka mempunyai masalah lanun, bangkai kapal, jerebu,
mendapan dan beting.
Kadar kemalangan di Selat Melaka pula dilaporkan dua kali lebih
tinggi berbanding di Terusan Suez dan empat kali lebih tinggi berbanding
di Terusan Panama.
Khairuddin berkata, walaupun ketepatan laporan itu boleh dipersoalkan
namun kesannya kepada Malaysia amat membimbangkan, jika ia menjadi
kenyataan.
“Apakah persiapan negara dan usaha-usaha yang dilakukan kerajaan
dalam menghadapi perubahan laluan perdagangan antarabangsa ini? Projek
ini tentu menguntungkan Thailand dan China terutamanya namun apakah pula
kesannya kepada negara?” katanya.
Katanya, Selat Melaka sebagai jalan penghubung laut utama dan pernah
cuba dikuasai Amerika Syarikat, China, Jepun dan India kerana
kedudukannya yang strategik.
Jepun mengimport hampir 80% bekalan minyaknya dari Asia Barat melalui Selat Melaka manakala China pula lebih 60 peratus.
Khairuddin berkata, dianggarkan lebih 60,000 buah kapal berlayar
melintasi selat ini pada setiap tahun dan perdagangan di selat itu pula
ialah antara AS$84 bilion hingga AS$250 bilion setahun.
No comments:
Post a Comment