TANGGAL 1 April 2015, rakyat di negara kita sekali
lagi menjadi kecoh, kerana dasar baharu berkaitan ekonomi diperkenalkan.
Ada yang tak faham, ada yang faham, ada juga yang buat-buat faham.
Justeru, pelbagai persepsi timbul dalam kalangan ahli masyarakat
sehingga perkara itu menjadi bercelaru dan terkeliru. Malah, lebih
menghiburkan kita lagi apabila GST dianggap dan diciptakan sebagai
akronim yang melucukan. Perkara ini berleluasa dalam saluran media
baharu seperti melalui ‘Muka Buku’ (Facebook) dan seumpamanya. Kesannya
ialah ahli masyarakat menjadi bertambah keliru, walhalnya isu itu
merupakan suatu dasar dan agenda utama negara. Mengapa hal ini
demikian?.
GST atau dalam bahasa Inggeris goods and services tax ialah sejenis
cukai yang merujuk kepada apa-apa sahaja barang dan perkhidmatan yang
digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai.
Sebab itulah juga
dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata
yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada cukai jualan dan cukai
perkhidmatan (SST) yang digunakan sebelum ini. Terdapat dua istilah
dalam hal ini iaitu GST dan SST yang perlu difahami.
Dalam aspek bahasa, istilah ini ditemukan melalui bidang bahasa yang
disebutkan sebagai laras. Laras bahasa ialah sejenis kelainan bahasa
yang digunakan berdasarkan sesuatu bidang yang diceburi oleh seseorang.
Laras bahasa boleh diertikan sebagai gaya atau cara menggunakan sesuatu
bahasa dalam sesuatu situasi. Laras akan sentiasa berubah-ubah
berdasarkan fungsi dan keadaan.
Di samping itu, setiap laras menitikberatkan pilihan kata atau istilah
dan menggunakan struktur ayat yang berlainan mengikut disiplin atau
bidang tertentu.
Sesuatu istilah dalam laras tertentu digunakan untuk difahami oleh
pengguna bahasa. Amat malang jika kita memperkenalkan sesuatu istilah
itu tetapi tidak difahami oleh penggunanya, sedangkan matlamatnya untuk
membolehkan pengguna itu akur dengan apa-apa yang dihasratkan.
Perkara yang sama berlaku pada GST, merupakan suatu dasar kerajaan yang perlu difahami dan dipatuhi oleh semua pihak.
Dalam usaha menjerayawarakan GST, alangkah baiknya jika pihak berkenaan
menggunakan istilah yang mudah difahami oleh anggota masyarakat.
Kita sudah ada istilah dalam bahasa Melayu - cukai barangan dan
perkhidmatan untuk GST, mengapa istilah itu tidak digunakan? Sebelum ini
kita sudah ada istilah cukai jualan dan perkhidmatan untuk SST, apa
alasan kita tidak mengguna pakaikannya?.
Sesuatu istilah jika ada pilihan lebih baik kita menyebarluaskan
istilah yang mudah difahami oleh pengguna. Dalam banyak perkara dan
dasar sebelum ini seperti DEB untuk Dasar Ekonomi Baru, SSM untuk Sistem
Saraan Malaysia, dan banyak lagi, nampaknya mudah difahami dan diterima
oleh rakyat.
Hal ini kerana istilah dalam bahasa Inggeris agak susah difahami kerana
latar belakang pendidikan rakyat di negara ini sangat rencam.
Justeru, pada pandangan penulis, jika istilah cukai barangan dan
perkhidmatan digunakan dalam usaha menguar-uarkannya sebelum ini tidak
menimbulkan banyak masalah. Pihak Kastam yang bertanggungjawab dalam hal
ini juga mudah menjelaskan perkara itu kepada orang ramai jika istilah
itu dalam bahasa ibunda yang mudah difahami.
Dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang sesuatu dasar,
kita perlu berfikir supaya sesuatu istilah itu mudah difahami begitu
juga kaedah penjelasan yang mudah diterima. Contoh lain jika perlu
disebut istilah GTP (Government Transformation Programme), kita sudah
ada program transformasi kerajaan, mengapa istilah ini kita tidak
lazimkan?
Segala-gala bertitik-tolak kepada kemahuan dan rasa cinta kita terhadap bahasa kita sendiri. Tepuk dada tanya selera.
* Artikel ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur
No comments:
Post a Comment