SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan Barisan Nasional (BN)
perlu segera membuka mata walaupun parti itu menang pada PRK Parlimen
Rompin semalam.
Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, keputusan PRK Rompin adalah
isyarat jelas kepada BN untuk berbuat sesuatu jika tidak mahu mengalami
mimpi ngeri pada PRU akan datang.
“Keputusan PRK Rompin menarik. Data di bawah menjelaskan hal ini.
“Jumlah Pengundi (PRU 2013 53,294; PRK 2015 53,596) , perolehan undi
calon BN (PRU 2013 30,040; PRK 2015 23,796) – kurang 6,244 undi,
perolehan undi calon Pas (PRU 2013 14,926; PRK 2015 14,901) – kurang 25
undi.
"Majoriti undi BN PRU (2013 15,114; PRK 2015 8,895) – kurang 6,219
undi, Sementara peratusan keluar mengundi (PRU 2013 85.89 peratus; PRK
2015 74 peratus)," tulis Agus pada laman sosial Facebook miliknya.
Tambahnya, BN harus memikirkan dengan segala kekuatan jentera dan
pengumuman peruntukan yang diberi, majoriti undi yang menurun sebanyak
41 peratus perlu direnung dalam-dalam.
“Ini kerana pengundi Rompin yang selama ini merupakan kubu BN telah
menunjukkan sikap protes mereka. Walaupun belum memberikan kemenangan
kepada Pas, tetapi mereka telah membunyikan loceng awal untuk
menyedarkan pemimpin BN tentang dasar pemerintahannya yang perlu
diperbetulkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Agus berkata, oleh itu BN perlu mengubah strategi berkempen, serta perlu memikat segera pengundi muda.
“Pengundi muda pada BN menurun, oleh itu BN perlu mengubah cara
berkempen. BN perlukan pemasaran politik baru kerana produk BN dah
lama, jika pengundi luar balik mengundi, keuntungan pada Pas dan
majoriti makin berkurangan.
"Apa-apapun tahniah BN kerana menang dalam kalah, dan Pas pula kerana kalah dalam menang,” katanya.
PRK Rompin menyaksilan calon BN Datuk Hasan Arifin menang dengan 23,796
undi menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad yang menerima 14,901 undi.
Hasan menang dengan majoriti 8,895 undi, menurun berbanding majoriti yang diterima BN pada pilihan raya umum lalu.
Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratusan keluar
mengundi bagi PRK P.091 Rompin juga merosot berbanding PRU13 dengan
hanya 73 peratus yang keluar mengundi.
Pada PRU13, penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis mengekalkan
kerusi Parlimen berkenaan untuk penggal keenam setelah mengalahkan bekas
Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114
undi.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian Dr Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
No comments:
Post a Comment