Friday, 8 May 2015

Kalau Syed Hamid di Tabung Haji mungkin pembelian tanah 1MDB tidak berlaku?

MSO





Beberapa tahun lalu apabila Syed Hamid Albar tidak lagi
disenaraikan dalam Kabinet Najib Razak, bekas ahli Parlimen Kota Tinggi
itu diberikan penghormatan untuk dilantik menjadi Pengerusi Tabung Haji.
Cadangan atau penyerahan Tabung Haji kepada Syed Hamid itu dikira tepat
dan sesuai sangat. Syed Hamid dikenali sebagai seorang kedekut tetapi
mempunyai prinsip dan ketegasan.






Syed Hamid tak jadi dilantik jadi pengerusi TH.

Sepantasnya orang berkeperibadian dan berintegriti begitu ditempatkan di
institusi itu yang menjaga kepentingan umat Islam. Tabung Haji bukan
sembarangan institusi, ia merupakan satu lembaga yang bertanggungjawab
menjaga wang berbillion ringgit pendeposit calon-calon Haji dimana
memerlukan seorang yanag amanah.



Lembaga itu hendaklah dijaga dan diawasi sebaik mungkin, bukan sahaja
soal perbelanjaan, tetapi aktiviti pelaburannya untuk menambahkan
pendapatan juga perlu diawasi dan dipastikan berjalan selari dengan
syariat Islam. Harus diingat wang digunakan atau ditabungi oleh pelabur
di institusi itu adalah yang bersih dari sebarang najis.Pulangan dividen
juga haruslah wang yang bersih.



Bekas Menlu itu, katanya senang dengan tawaran itu.
Dia sudah pun bersedia. Surat perlantikan itu juga sudah diterima dan
dibacanya. Cuma beliau belum sempat untuk memasuki pejabat lembaga itu
kerana kebetulan saat itu dia sedang bersiap-siap untuk mengerjakan
umrah.



Syed Hamid berkira-kira sekembali dari Makkah dia akan memulakan tugas
barunya disitu, menyelia dan mentadbir wang pelabur Tabung Haji. Ada
setengah qaul mengatakan Syed Hamid sudah pun menjejak ke bangunan
Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan mengarahkan kakitangan agar membuat
sedikit pindaan untuk pejabat barunya itu.



Malang setelah beliau kembali dari mengerjakan umrah, saat hendak
memulakan tugas, tiba-tiba perlantikan itu ditarik balik. Sebagai
gantinya beliau diberi tugas dan jawatan baru sebagai Pengerusi
Suruhanjaya Kenderaan Awam dan Darat (SPAD), menjaga bas, lori dan
teksi. Beliau tidak bertanggungjawab menjaga kapal, bot dan perahu serta
kapal selam, kerana kenderaan itu dikategorikan sebagai kenderaan laut.



Pertukaran jawatan itu jauh bezanya walaupun tarafnya sama "pengerusi".
Beliau lantas memasuki pejabat SPAD dan tidak ke bangunan Tabung Haji
tanpa ada apa-apa 'ogehan' dan bantahan. Itulah stail dan sikap Syed
Hamid seorang yang akur dan jujur.



Dan hari ini selepas kecurnya berita mengatakan Tabung Haji telah
membeli tanah 1MDB bernilai RM 188.5 juta, dimana pembelian itu
meragukan akan ketelusan dan tujuannya, baru saya faham kenapa Syed
Hamid tidak dibenarkan masuk ke Tabung Haji. Saya yakin dan percaya
kalau Syed Hamid yang menjadi Pengerusi Tabung Haji apa yang berlaku
sekarang ini tidak akan berlaku. Dia juga tidak akan tersalah
berkomunikasi dengan ahli lembaga pengarahnya.



Syed Hamid bukan budak penjaga kereta, jauh sekali sebagai ketua samseng
kampung Dusun. Dia seorang diplomatik dan berkelulusan sebagai peguam
dan pengamal undang-undang. Pengalaman dan pengetahuan yang ada
kepadanya tidak memungkinkan hal-hal terjadi di Tabung Haji yang tidak
syariat atau meragukan itu akan terjadi.



Ertinya penolakan Syed Hamid dari dilantik menjadi pengerusi Tabung
Haji, katanya atas nasihat seorang "personalis" yang rapat dengan PM
itu, ada tujuan dan motifnya. Begitu juga dengan perlantilkan CEO dibuat
dengan penuh selektif. Ia adalah untuk memudahkan kerja-kerja yang
berlaku sekarang ini dilakukan tanpa ada kawalan, tinjauan dan
pemerhatian dari segi perundangan sivil dan syariah.



Mungkin selepas kecoh skandal pembelian tanah bernilai ratusan juta itu
menyebabkan Syed Hamid tertunduk sambil tersenyum dan sedikit memahami
apa yang berlaku ke atasnya.



Sekarang bolehlah media massa cuba-cuba tanya hal ini kepada Syed Hamid
Albar. Apakah benar maklumat yang saya catat ini. Mungkin surat tawaran
untuk beliau dilantik menjadi Pengerusi Tabung Haji masih ada dalam
simpanannya. Cubalah... Syed Hamid sesungguhnya bukan "Mat Maslan"
kandati pun mereka dari bumi yang sama.

No comments:

Post a Comment