Sunday, 3 May 2015

Harga kad prabayar ‘tetap naik’, menteri memihak kartel telco

tony pua (7)



Roketkini.com





PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua
menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek yang
mempertahankan langkah syarikat telekomunikasi menaikkan harga kad
prabayar pasca Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).




Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, ini kerana Timbalan
Menteri Kewangan Ahmad Maslan sebelum ini mengumumkan harga kad prabayar
tidak naik dan akan dikuatkuasa pada 1 Mei.


Namun kata Tony, kenyataan kedua Menteri itu bercanggah antara satu sama lain.




“Syarikat-syarikat telekomunikasi tidak menurunkan semula harga pra
GST kad prabayar semalam. Shabery Cheek juga mempertahankan mereka dan
mendakwa penurunan harga itu agak mustahil dilaksanakan kerana kerumitan
mengubah sistem perisian.




“Shabery Cheek ‘menang’ dalam mempertahankan syarikat telco. Ini
benar-benar tamparan hebat kepada rakyat Malaysia ekoran pelaksanaan
GST. Alasan menteri itu semuanya adalah omong kosong saja,” jelas Tony.




Menurutnya syarikat telekomunikasi bersikap seperti sebuah kartel
dalam menggunakan cukai sebagai cara mencatut dengan alasan pelaksanaan
GST.




Ujarnya, di bawah pentadbiran sebelum Perdana Menteri Najib Tun
Razak, pengguna hanya membayar RM 9.43 untuk mendapat nilai perkhidmatan
sebanyak RM 10 ringgit bagi satu kad prabayar.




Namun sekarang tanpa mengambil kira cukai, pengguna terpaksa membayar
enam peratus lebih dari RM10 yang dibayar bagi perkhidmatan tambah
nilai bernilai RM 10.




Tony turut menyelar kenyataan Najib yang menggesa pihak berkuasa
bertegas terhadap peniaga-peniaga yang kononnya memanipulasi GST bagi
mendapatkan keuntungan, namun dalam masa yang sama tidak bertindak
kepada syarikat-syarikat besar.




“Kenapa pihak berkuasa dibenarkan bertegas kepada peniaga biasa yang terpaksa menaikkan harganya kerana GST?




“Kenapa syarikat telco yang besar-besar secara semberono menaikkan
harga, mendapat untung lebih menggunakan alasan GST namun dilayan dengan
begitu baik?




“Najib mesti hentikan dasar layanan tidak adil yang hanya memihak syarikat besar.




“Akta anti-pencatutan mesti dikuatkuasa secara adil terhadap peniaga
yang menaikkan harga selepas GST, selain tegas terhadap
syarikat-syarikat besar tidak bertanggungjawab yang mendapat untung
berbilion ringgit,” tegas Tony. – Roketkini.com






No comments:

Post a Comment