SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Persatuan
Bank-bank di Malaysia (ABM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini
memperkenal teknologi 'kesan dakwat' bagi menangani insiden mencuri yang
membabitkan mesin teler automatik (ATM).
Teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Perancis, Oberthur Cash
Protection, itu akan mengeluarkan dakwat yang tidak dapat dipadamkan,
dan mengotorkan wang kertas di semua sudut, jika berlaku cubaan untuk
membega ATM.
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, wang kertas yang
tercemar itu akan hilang tender sahnya, sekali gus tidak boleh
dimasukkan semula ke dalam edaran.
"Bagi memastikan inisiatif ini berkesan, orang ramai mesti menjalankan tugas
sivik masing-masing dengan sentiasa berjaga-jaga ketika menerima mata
wang yang sudah tercemar, yang kemungkinan besar wang curi.
"Wang kertas yang dicemari dakwat itu tidak boleh dicuci dan perlu
dipulangkan kepada bank pusat untuk penggantian," katanya dalam ucapan
pada pelancaran 'My Ringgit' di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi ABM yang juga Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM Datuk Seri Mortadza Nazarene.
Pengarah Jualan dan Operasi Oberthur Cash Protection, Eric Hauw,
berkata teknologi itu dibangunkan 10 tahun lepas dan digunakan oleh 25
hingga 30 negara di Eropah Barat, Amerika Latin dan Afrika sejak lima
tahun lepas.
"Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara menggunakan teknologi
ini dan kami berharap negara ini mencatat kadar kejayaan yang sama
seperti negara lain yang telah menggunakannya," katanya.
Hauw berkata, kos memasang sistem itu kira-kira 30 peratus tambahan bagi setiap ATM.
BNM juga melancarkan aplikasi baharu telefon pintar 'My Ringgit',
perkakasan pendidikan interaktif untuk mempelajari dan meneroka
teknologi mata wang Malaysia. - Bernama
No comments:
Post a Comment