Hasan Malek Hasan Malek










GEORGETOWN - Kerajaan bersedia meneruskan penerangan tentang keuntungan
pengguna hasil pelaksanaan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) termasuk
dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh, kata Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan
Malek.





Beliau berkata, penerangan itu penting supaya rakyat tahu GST merupakan
satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan berkesan.





Banyak negara telah melaksanakan sistem percukaian ini dan ada yang
jauh lebih tinggi seperti Hungary dan Kenya masing-masing 16 peratus
manakala Pakistan dan Bangladesh masing-masing 15 peratus, katanya.





Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek zakat
perniagaan Bank Rakyat kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun
Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, di sini hari ini.





Menjangkakan pembangkang akan memainkan isu GST pada PRK Permatang
Pauh, beliau berkata sifat pembangkang selalunya akan menyatakan
ketidakpuasan hati mereka terhadap apa sahaja yang kerajaan laksanakan.





Hasan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, pembangkang telah
banyak kali diberi peluang berdebat dan berbahas tentang GST di Dewan
Rakyat tetapi mereka masih ingin memutar belit perkara itu.





"Saya cukup yakin ... Insya-ALLAH penjelasan ini supaya rakyat akan
lebih memahami tetapi kalau ada orang nak memutarbelitkan isu itu
terpulang kepada hak mereka.





"Tugas kami sudah cukup jelas, GST ini adalah untuk kekuatan ekonomi
negara yang membolehkan kerajaan pembuat pembangunan infrastruktur yang
lebih banyak khususnya pembinaan sekolah, klinik, jalan raya dan
pembangunan modal insan," katanya.



Sementara itu, Hasan berkata penguatkuasaan dan pemeriksaan GST akan berterusan.



"Kementerian akan melipatgandakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di
semua negeri bagi melindungi pengguna daripada ditipu," katanya.





Suruhanjaya Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini dan penamaan calon 25 April.



PRK Parlimen Permatang Pauh perlu diadakan selepas Lembaga Pengampunan
pada 16 Mac lepas menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon
anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota
keluarganya, sekali gus menyebabkan Ketua Umum PKR itu hilang kelayakan
sebagai wakil rakyat. - Bernama