Loke dan Adun Nilai, J. Arul Kumar pada sidang media di Pejabat Adun Lobak.
SEREMBAN - Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini
mengenakan caj GST terhadap semua perkhidmatannya dipersoalkan Ahli
Parlimen Seremban, Anthony Loke.
Lebih mengecewakan beliau, usaha untuk mendapat penjelasan tidak
berhasil apabila soalan berhubung perkara itu ditolak Speaker Dun untuk
dibentang pada Sidang Dun Negeri Sembilan, minggu depan.
Anthony yang juga ketua pembangkang Dun negeri berkata, soalannya itu
ditolak kerana pelaksanaan GST dikatakan bukan di bawah kuasa kerajaan
negeri, sebaliknya kerajaan persekutuan.
“Saya telah melakukan kajian dan mendapati banyak perkhidmatan PBT
dikenakan GST termasuk khidmat sewa khemah, gerai, kenderaan, parkir dan
banyak lagi.
“Jadi, soalan tentang GST untuk maklumat rakyat kerana masih ramai
tidak jelas dan keliru tentang pelaksanaan GST yang turut dikenakan
kepada perkhidmatan PBT,” katanya.
Menurutnya, kerajaan seharusnya bersikap telus dalam memberikan maklumat kepada rakyat tentang pelaksanaan cukai baharu itu.
“Bukan barang sahaja dikenakan GST tetapi perkhidmatan PBT turut kena.
Jadi rakyat perlu tahu supaya tiada kekeliruan dalam hal ini,” katanya
pada sidang media di Pejabat Adun Lobak, di sini, semalam.
Anthony bagaimanapun menyambut baik tindakan Majlis Perbandaran
Seremban (MPS) yang difahamkan akan menyerap kos GST terhadap semua
perkhidmatannya kepada orang ramai.
“Saya terima baik kenyataan Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd
Latiff yang memberitahu MPS akan menyerap GST ini. Ia amatlah baik untuk
rakyat.
“Saya mohon kerajaan negeri dapat seragamkan dasar dengan mengarahkan
semua PBT untuk menyerap GST terhadap perkhidmatannya di semua majlis
perbandaran dan daerah lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment