Pas guna GST untuk raih undi Mohd Fadzli (kanan) mengangkat tangan Nazri Ahmad selepas nama Ketua Pemuda Pas Pahang itu diumumkan sebagai calon PRK Rompin.










MUADZAM SHAH – Pas mengumumkan slogan ‘Satu undi untuk Pas, satu undi
tolak GST’ sebagai kempen meraih sokongan pengundi pada PRK Parlimen
Rompin, 5 Mei nanti.



Slogan diumumkan Timbalan Pengarah I PRK Parlimen Rompin Dun Tioman,
Mohd Fadzli Mohd Ramly yang turut menggesa supaya rakyat menolak cukai
yang disifatkannya sebagai cukai zalim dan menindas itu.



Menurutnya, jika pengundi di Rompin masih memilih BN pada hari
pengundian, maka jelaslah mereka juga memilih untuk mengekalkan dan
menyokong pelaksanaan GST.



“Kita percaya undi kepada Pas pada PRK Rompin ini adalah isyarat kepada
kerajaan atau BN bahawa rakyat bukan sahaja di daerah ini tetapi di
seluruh negara menolak cukai tersebut yang tidak mengenal miskin atau
kaya.



“Slogan ‘Satu undi untuk Pas, satu undi tolak GST’ akan digunakan
sebagai salah satu medium kempen dalam meraih sokongan pengundi yang
rata-ratanya tiada seorang pun terkecuali daripada dikenakan cukai
tersebut,” katanya ditemui selepas pengumuman calon Pas PRK Rompin,
malam kelmarin.



Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Pas mampu memenangi kerusi
Parlimen Rompin walaupun berdepan dengan calon yang disifatkan orang
lama dan berpengalaman seperti diumumkan BN, Datuk Hasan Arifin.



“Isu GST ini merupakan isu besar melibatkan rakyat seluruh negara dan
rakyat secara umumnya juga ternanti-nanti keputusan PRK ini yang bakal
menjadi isyarat atau simbol penolakan rakyat kepada parti pemerintah
yang telah meluluskan cukai tersebut.



“Bukan sahaja GST tetapi isu saham FGVH, kejatuhan harga sawit, nasib
generasi kedua Felda dan isu pemilikan tanah juga akan menjadi peluru
bagi meruntuhkan daerah yang kononnya disifatkan sebagai kubu kuat BN
ini,” katanya.