Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff Dr Mohammad Agus










SHAH ALAM - Dalam politik semua boleh berlaku. Dalam konteks Permatang Pauh, kejutan itu mungkin, tetapi sukar.



Demikian respon penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff ketika ditanya
keberangkalian BN untuk merampas semula kerusi Permatang Pauh daripada
PKR.



Agus berkata, kenyataannya itu adalah berdasarkan faktor kini yang dilihat tidak memihak kepada BN.



“Isu-isu semasa di Permatang Pauh seperti GST, 1MDB dan isu ekonomi lainnya tidak memihak kepada BN.



“Di samping serangan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” katanya kepada Sinar Online hari ini.



Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Umno,
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang dipetik sebagai berkata, BN mampu
melakar kejutan di kerusi Parlimen Permatang Pauh.



Sementara ketika ditanya mengenai situasi di PRK Rompin, Agus berkata, kawasan tersebut terlalu sukar untuk dimenangi Pas.






“Pas sukar menang di Rompin, kawasan tradisi Umno yang dijaga baik oleh
Ahli Parlimen sebelum ini. Jika pun Pas boleh capai ialah mengurangkan
majoriti BN,” katanya.



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei depan sebagai hari
pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang, sementara PRK
Parlimen Rompin akan diadakan pada 5 Mei.



Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong selepas penyandangnya,
Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah
Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.



Manakala PRKRompin pula diadakan berikutan kematian Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih.



Dalam PRU13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang
disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua
Muslimat Pas Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.