Wednesday, 22 April 2015

Lesen motosikal...perlukah sampai RM350?







Oleh Marhaini kamaruddin





KENYATAAN
keras Ketua Trafik Polis Bukit Aman hendak menyaman ibu bapa yang
membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen sah ke
sekolah, disambut dengan perasaan berbaur. Ada yang menyokong, tidak
kurang yang mengeluh.



Penulis yakin rata-rata yang menyokong,
tidak mempunyai anak yang menunggang motosikal ke sekolah. Yang
mengeluh pula, bukan menentang, namun mempunyai alasan-alasan
tersendiri untuk tidak menyokong 100 peratus.


Tidak dapat
dinafikan tindakan membenarkan anak remaja menunggang motosikal tanpa
lesen sah, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Ibu bapa sebagai
orang dewasa sepatutnya menasihati anak-anak yang belum cukup umur ini
agar mematuhi undang-undang, bukannya menggalakkan mereka melanggar
peraturan.



Sebagai pengguna jalan raya di Malaysia, kebanyakan
daripada kita pasti pernah merasai pengalaman atau setidak-tidaknya
melihat aksi kurang menyenangkan remaja bermotosikal. Aksi daring
anak-anak remaja menunggang motosikal secara berbahaya memang boleh
membuatkan kita sesak nafas melihatnya.



Bagi anak-anak remaja
ini yang ‘berani mati’ berlumba di jalan raya sebagai mat rempit,
penulis tidak ada hala­ngan jika pihak polis hendak mengambil tindakan
ke atas mereka.



Saman sekali ibu bapa yang membenarkan anak-anak
ini bermaharajalela di atas jalan raya dengan aksi-aksi yang
membahayakan diri mereka dan pemilik kenderaan lain.



Kalau hendak mengenakan saman maksimum RM300 ke atas ibu bapa terlibat pun penulis setuju.


Bagaimanapun, penulis berharap Op Roda yang dilancarkan ke seluruh
negara mulai bulan lalu untuk mengekang gejala anak sekolah menunggang
motosikal tanpa le­sen itu, dapat dijalankan mengikut budi-bicara.




Motosikal bukan ken­deraan mewah. Motosikal bukan pilihan orang berada
sebaliknya menjadi medium pengangkutan rakyat biasa, golongan marhaen
macam penulis.



Kebanyakan ibu bapa terutama di kawasan pinggir
bandar, pekan kecil dan kampung-kampung menjadikan motosikal sebagai
pengangkutan utama untuk bergerak ke mana-mana termasuk menghantar anak
ke sekolah. Menjadi pemandangan biasa juga bagi anak-anak remaja ‘yang
sudah boleh dipercayai’ menunggang sendiri motosikal ke sekolah.
Lazimnya anak-anak ini sudah di sekolah menengah atas dan ‘cukup besar’.



Sementara penulis menyokong Op Roda dijalankan bagi menahan
remaja yang menunggang motosikal tanpa lesen sah ‘secara berbahaya’,
penulis merasakan mereka yang menggunakannya secara berhemah sebagai
medium peng­angkutan untuk ke sekolah tidak patut menerima hukuman yang
sama.



Penulis percaya sekiranya berpeluang mengambil le­sen,
anak remaja sekolah ini tidak teragak-agak berbuat demikian. Apatah lagi
memiliki lesen sendiri semacam satu kemegahan bagi anak-anak remaja.



Namun seperti yang kita maklum, motosikal bukan kenderaan mewah. Yang menggunakannya pun bukan orang mewah dan berada.




Lainlah pemilik motosikal berkuasa tinggi yang harga­nya mencecah
ratusan ribu ringgit, tentu sahaja kadar lesen RM900 yang perlu dibayar
tidak memberi kesan apa-apa.



Namun bagi rakyat marhaen yang
kebanyakannya hanya mampu menunggang motosikal ‘kapcai’ berkuasa rendah,
jumlah RM350 yang perlu dikeluarkan untuk mengambil lesen cukup besar
buat mereka.



Bayangkan pula bagi ibu bapa yang terpaksa
menanggung keluarga, lagilah perit hendak mengeluarkan wang sebanyak itu
untuk membolehkan anak remaja mereka mengambil lesen.



Akibatnya
ramai yang dengan berat hati ‘membenarkan’ anak masing-masing
menunggang motosikal tanpa lesen ke sekolah, bukan berpeleseran ke
mana-mana pun.



Penulis faham niat baik pihak berkuasa, baik
polis mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi
menahan remaja menunggang motosikal tanpa lesen sah.



Seperti
yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini, jumlah insiden
kemalangan maut melibatkan pelajar berusia 16 tahun ke bawah, dari awal
tahun sehingga Mac lalu, adalah membimbangkan iaitu sebanyak 309 kes.
Sepanjang tahun lalu sahaja, sejumlah 290 kes kematian pelajar
dicatatkan.



Namun penulis lebih percaya gejala ini boleh
diben­dung sekiranya prosedur pengambilan lesen menunggang motosikal
bahkan lesen memandu kereta dipermudahkan dan lebih penting lagi
affordable - iaitu ditetapkan kadarnya pada harga yang berpatutan.




Penulis tidak kisah dengan kadar harga lesen motosikal berkuasa tinggi
yang mencecah RM1,000 kerana pemilik­nya memang berkemampuan.




Jika harga rumah mampu milik boleh ditetapkan had si­lingnya pada kadar
patut, yang berupaya dibeli oleh golong­an berpendapatan rendah, penulis
tidak lihat ada halangan untuk JPJ menetapkan satu kadar rata yang
minimum, yang mampu dibayar oleh rakyat marhaen, hatta oleh ibu bapa
untuk anak remaja masing-masing.



Penetapan kadar lesen,
katakanlah pada harga RM150, tentu sahaja akan menggalakkan lebih ramai
rakyat mengambil lesen yang sah.



Jika menjadi kenyataan, akan
mewujudkan situasi menang-menang dari segi peningkatan jumlah pemegang
lesen motosikal dan pada masa sama, mengurangkan kemalangan jalan raya
melibatkan golongan ini.



Maklumlah, anak remaja ini sudah
mengikuti kelas dan mendapat latihan cara-cara menunggang motosikal yang
betul. Malah lebih penting lagi, mereka tidak perlu ‘mencelah’ untuk
melarikan diri setiap kali bertembung dengan polis trafik yang
menjalankan Op Roda kerana telah memiliki lesen yang sah.


No comments:

Post a Comment